PASIR PUTEH – Seorang pengusaha pusat latihan komputer tergamam apabila melihat rumah kedai miliknya terbakar dalam kejadian kira-kira 6.20 petang di Kampung Alor Pasir di sini pada Ahad.
Muhammad Firdaus Mustapha, 42, berkata, dia tidak sempat untuk menyelamatkan semua barangan miliknya kerana api marak dengan begitu cepat.
Menurutnya, ketika kejadian dia bersama isteri dan empat anak yang berusia tujuh bulan hingga 15 tahun berada di tingkat bawah yang merupakan rumah kediaman mereka manakala di bahagian atas adalah pusat komputer.
“Awalnya saya terdengar bunyi letupan daripada bangunan sebelah yang merupakan bengkel kereta.
“Kemudian saya cuba mencari punca bunyi tersebut dan mendapati terdapat kepulan asap serta api mulai merebak,” katanya kepada Sinar Harian semasa ditemui di lokasi kejadian.
Dia kemudiannya bertindak menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan serta cuba memadam kebakaran terbabit namun gagal kerana api merebak dengan cepat.
Ujarnya, melihat situasi terbabit dia mengarahkan isteri serta anak-anak segera keluar menyelamatkan diri.
Menurut Muhammad Firdaus, mujurlah mereka semua selamat walaupun semua harta benda termasuk pakaian tidak dapat dibawa keluar sehingga tinggal sehelai sepinggang.
“Saya reda apabila ribuan ringgit wang simpanan hasil perniagaan juga musnah dalam kebakaran ini.
“Kami tinggal di sini sejak tujuh tahun lalu dan ia merupakan rumah kedai milik saya. Buat masa sekarang kami terpaksa menumpang di rumah keluarga di Kampung Wakaf Lanas,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 03045022105763 di atas nama Muhammad Firdaus Mustapha.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Mustofar berkata, pihaknya mengambil masa selama 30 minit untuk mengawal kebakaran terbabit daripada merebak.
Beliau berkata, operasi yang bermula pada jam 6.26 petang itu melibatkan anggota seramai 43 orang dan mendapat bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tok Bali, Ketereh dan Tanah Merah.
“Kebakaran ini melibatkan lima buah rumah kedai, di mana dua daripadanya digunakan sebagai bengkel kereta, sementara dua buah lagi pusat latihan komputer serta sebuah bangunan yang dijadikan sebagai transit oleh pemilik bengkel.
“Setakat ini jumlah kerugian serta punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya.
– SINAR HARIAN