
Kuala Terengganu, 20 Februari – Kumpulan AFFIN (“AFFIN”) dengan kerjasama Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) telah melancarkan kempen “Maghi Sekmung Kita Cashless” di Ombak Pazaar, Mayang Mall. Kempen yang berlangsung dari 16 Januari 2025 hingga 15 Februari 2025 ini bertujuan menggalakkan penggunaan pembayaran digital dalam kalangan peniaga kecil dan sederhana (PKS) serta pengguna.
Konsep utama kempen ini adalah untuk memperkenalkan pembayaran digital sebagai kaedah utama bagi urus niaga harian. Melalui inisiatif ini, semua transaksi akan dilakukan secara tanpa tunai menggunakan sistem pembayaran digital AFFIN yang serba canggih.
Peniaga PKS yang menyertai kempen ini menerima QR Standee percuma, membolehkan mereka menerima pembayaran digital dengan lebih mudah, sekali gus dapat menjimatkan masa dan memudahkan transaksi.
Lebih menarik lagi, AFFIN turut menyediakan pelbagai insentif seperti baucar tunai AFFIN bernilai lebih RM15,000 menerusi pelbagai aktiviti seperti “Like & Share” media sosial AFFIN (@AffinMy) di Facebook dan Instagram.
Pengunjung hanya perlu muat turun aplikasi SME Colony, membuka akaun peribadi atau perniagaan serta melanggan produk AFFIN. Selain itu, mereka juga berpeluang memenangi hadiah dan penyertaan dalam cabutan bertuah “Spin and Win”.
Selain memudahkan urusan jual beli, kempen ini juga memberi manfaat kepada peniaga dengan promosi percuma melalui platform digital AFFIN. Sepanjang kempen berlangsung, lebih RM40,000 hasil jualan telah dijana.
Kempen ini bukan sahaja membantu memacu perkembangan ekonomi PKS, tetapi juga telah menyokong agenda bandar pintar Negeri Terengganu.
Melalui kejayaan ini, AFFIN akan terus komited untuk memperkenalkan lebih banyak lagi penyelesaian perbankan digital yang dapat membantu memudahkan urusniaga harian.
Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian perbankan digital AFFIN, sila layari www.AffinAlways.com.