Letupan bom di Golok: Polis nasihat elak berkunjung ke selatan Thailand

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Polis Kelantan menasihatkan penduduk di negeri ini yang tidak mempunyai urusan penting supaya mengelakkan diri daripada berkunjung ke selatan Thailand buat sementara waktu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ia susulan insiden letupan bom dan berbalas-balas tembakan yang berlaku di Pekan Golok, Thailand pada malam Sabtu.

“Saya tidak boleh halang mereka dari berkunjung ke sana, cuma mereka yang pergi diminta lebih berhati-hati.

“Sebelum ini saya sudah menasihatkan perkara sama supaya menangguhkan perjalanan ke wilayah selatan Thailand kerana keadaan masih panas dengan kejadian letupan bom sejak kebelakangan ini,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Ahad.

Laporan Sinar Harian mengenai dua maut insiden letupan bom dan tembak di Golok.

Menurut beliau, nasihat itu diberikan memandangkan ramai penduduk di negeri ini gemar ke Selatan Thailand termasuk ke Pekan Golok untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dua anggota sukarelawan pertahanan terkorban manakala lapan cedera dalam insiden letupan bom di Daerah Sungai Golok, Narathiwat.

Dalam insiden kira-kira jam 7 malam (waktu tempatan) Sabtu, sekumpulan lelaki bersenjata menaiki dua kenderaan pacuan empat roda menyerang Pejabat Daerah Sungai Golok.

Timbalan Ketua Polis Sungai Golok, Leftenan Kolonel Pol Nitti Suksang, mengesahkan kumpulan itu melepaskan tembakan dan melontar bom tangan ke arah sukarelawan pertahanan yang sedang bertugas.

Sumber : SINAR HARIAN