
KEMAMAN – “Saya tak sempat selamatkan apa-apa, hanya fikir nyawa isteri dan anak dalam kandungan.”
Demikian kata Ahmad Zul Wafi Mohd Sitara, 27, yang nekad menyelamatkan isterinya ketika kediaman mereka di Taman Alam Perdana, Binjai, di sini terbakar.
Menurut Ahmad Zul Wafi, ketika kejadian kira-kira jam 7.30 pagi pada Sabtu, dia dan isterinya, Nor Athirah Che Hasan, 27, yang sarat mengandung sembilan bulan sedang tidur di bilik atas rumah berkenaan.
“Mujurlah saya tak ‘silent’ telefon bimbit. Saya terjaga selepas terdengar bunyi panggilan telefon oleh jiran memberitahu rumah saya sedang terbakar.
“Ketika itu asap sudah memenuhi ruangan dalam rumah. Dalam keadaan asap tebal dan percikan api, saya dan isteri terpaksa keluar menerusi pintu belakang sebab api sedang marak di depan rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Ahmad Zul Wafi mengakui dalam keadaan cemas itu, dia tidak sempat menyelamatkan harta benda, termasuk dua buah kereta dan sebuah motosikal yang turut hangus dalam kebakaran.
Keadaan dua kereta milik Ahmad Zul Wafi yang hangus dalam kebakaran itu.
Katanya, buat sementara waktu ini dia terpaksa menumpang di rumah ahli keluarga kerana tiada tempat tinggal.
“Buat masa ini, saya dan isteri terpaksa menumpang rumah keluarga. Lagipun isteri saya dijadualkan bersalin minggu depan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Noraniza Ismail, 50, memberitahu, suaminya, Wan Ali Wan Abdullah, 53, melecur di bahagian jari dan lengan ketika cuba memadamkan kebakaran.
Menurutnya, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana telah keluar bekerja manakala tiga anak berada di ruang tamu dan suami di luar rumah.
“Suami saya cuba padamkan api dengan paip air. Ketika itu, dia terkena percikan api menyebabkan tangannya melecur.
“Mujurlah suami dan anak-anak terselamat,” katanya yang merupakan jururawat di Hospital Kemaman.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, tujuh unit rumah teres dua tingkat di Taman Alam Perdana, Chukai di sini terbakar dalam kejadian awal pagi Sabtu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.55 pagi sebelum jentera dari BBP Chukai dan BBP Kemaman tiba di lokasi kejadian dalam tempoh kurang 10 minit.
Jelas beliau, kejadian itu mengakibatkan kemusnahan antara lima hingga 85 peratus bagi setiap unit rumah.
Sumber : SINAR HARIAN