
MOHAMED Salah tidak dapat menahan emosinya apabila Liverpool tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan yang berakhir dengan penentuan penalti di Anfield, awal pagi Rabu.
Liverpool yang membawa kelebihan satu gol dari perlawanan pertama tumbang 0-1 di laman sendiri selepas jaringan awal Ousmane Dembélé pada minit ke-12 menyamakan agregat kedua-dua pasukan.
ADVERTISING
Ketika penentuan sepakan penalti, Salah berjaya menyempurnakan sepakan pertamanya selepas Vitinha menjaringkan gol pembukaan buat PSG.
Namun, kegagalan Darwin Núñez dan Curtis Jones menewaskan penjaga gol Gianluigi Donnarumma memberikan kelebihan kepada pasukan lawan.
Pemain sayap PSG, Désiré Doué, akhirnya memastikan kemenangan buat skuad kendalian Luis Enrique dengan jaringan penalti terakhir.
Selepas perlawanan berakhir, suasana pilu menyelubungi Anfield dengan pemain Liverpool kelihatan saling memberikan kata-kata semangat antara satu sama lain.
Salah dilihat tidak dapat menahan kesedihan dan berjalan di sekitar padang.
Perlawanan itu juga mungkin perlawanan terakhir Salah dalam aksi Liga Juara-Juara di Anfield memandangkan situasi kontraknya masih belum dimuktamadkan.
Pada aksi tersebut, bintang Mesir itu memulakan permainan dengan cemerlang dan memperoleh dua peluang awal untuk memberikan kelebihan kepada Liverpool.
Namun, ketangkasan pertahanan PSG yang diketuai Nuno Mendes berjaya menyekat ancaman tuan rumah sehingga wisel penamat.
Bottom of Form
Sementara itu, kapten Liverpool, Virgil van Dijk, mengakui kekecewaan tersingkir menerusi sepakan penalti namun tetap berbangga dengan persembahan pasukan.
“Ia adalah perlawanan yang sangat sengit dan menarik untuk disaksikan. Kami sudah memberikan yang terbaik, tetapi inilah bola sepak.
“Kami mencipta beberapa peluang berbahaya pada babak pertama, begitu juga mereka. Akhirnya, penentuan penalti yang menentukan segalanya.
“Kami kecewa kerana tersingkir, tetapi saya katakan kepada rakan sepasukan untuk terus kuat kerana cabaran seterusnya menanti hujung minggu ini dalam final Piala Liga,” katanya.
Sumber : SINAR HARIAN