Raya nak dekat, tapi rumah bersepah? Ikuti 7 teknik mengemas kediaman jimat tenaga.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TIDAK lama lagi, umat Islam akan menyambut ketibaan Syawal bagi meraikan kemenangan selepas sebulan menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadan.

Corong-corong radio sudah mula memainkan lagu raya dan kemeriahan semakin terasa dengan dekorasi lebaran di pasaraya-pasaraya utama di seluruh negara.

Pasti ramai yang sudah merancang untuk pulang beraya bersama yang tercinta di kampung halaman.

Bagi mereka yang terpaksa meraikannya di ibu kota, usah berduka kerana raya kan sebulan!

Sama ada anda menyambutnya di desa atau di kota mahupun di perantauan, teknologi ada untuk mendekatkan jarak dengan yang tersayang.

Selain menghias diri di pagi Aidilfitri, rumah anda juga harus kelihatan indah untuk menyambut kehadiran tetamu.

Apa kata anda ikuti tujuh kaedah mengemas kediaman sempena lebaran ini.

 

1. Buang dulu, kemudian baru susun dan kemas

Kadang-kadang ruang menjadi sempit disebabkan terdapat pelbagai barangan yang tidak diperlukan masih disimpan di dalam rumah.

Apa kata anda buang barang-barang yang tidak lagi digunakan atau hantar sahaja ke pusat kitar semula.

Kemudian, barangan yang bersepah dan masih boleh digunakan itu boleh disusun dan dikemas di tempat penyimpanan yang sepatutnya.

2. Jangan tangguh

Sebaik anda memutuskan untuk mengemas rumah, pastikan semua kerja-kerja tersebut dilakukan sehingga habis.

Jangan tangguh dengan melakukan pekerjaan lain kerana perbuatan ini hanya akan membuatkan anda berasa malas untuk menyambung semula tugasan yang terbengkalai.

3. Fokus di kawasan penting

Mula membersih kawasan yang menjadi tumpuan tetamu pada hari raya nanti.

Sebagai contoh, anda boleh mengemas ruang tamu dan kawasan meja makan terlebih dahulu sebelum membersihkan ruang lain.

Jangan lupa sental bilik air ya! Nanti segan pula dengan tetamu jika tandas di rumah anda berlumut.

4. Mula dari tingkat atas

Jika rumah anda bertingkat-tingkat, seeloknya mengemas tingkat paling atas terlebih dahulu supaya anda tidak perlu membersihkan habuk yang jatuh ke lantai.

Gunakan pengelap pakai buang untuk membersihkan meja, kerusi dan permukaan berkaca.

5. Minta tolong anak-anak

Bonus kepada mereka yang memiliki anak ramai kerana tugas boleh diagihkan dengan lebih mudah!

Bahagikan tugas kepada anak-anak mengikut kesesuaian umur mereka dan pada masa sama anda boleh memupuk kerjasama berkumpulan pada musim perayaan ini!

6. Bersihkan permaidani

Haa… ketika raya inilah masanya anda untuk menggunakan karpet yang sudah disimpan selama setahun di dalam stor itu.

Walaupun tersimpan rapi, anda tetap perlu membersihkannya supaya tidak berdebu di depan tetamu.

Jika anda memiliki peruntukan lebih, hantar permaidani anda kepada pembersih karpet profesional untuk memastikan ia bersih daripada segala habuk dan kekotoran.

Namun, lebih jimat jika anda memvakum sendiri karpet-karpet yang ada.

7. Ikut kategori

Selepas kediaman anda hampir siap dikemas, tiba pula masanya anda menyusun perkakas mengikut kategori supaya mudah dicapai.

Kaedah ini juga akan menjimatkan masa kerana anda pasti sibuk melayan tetamu yang datang pada hari raya nanti.

Semoga tip yang diberikan ini dapat membantu anda beraya dengan bergaya pada Syawal ini!

Jangan baju raya sahaja yang ‘vogue’, rumah pun kena mengancam juga untuk lebih meriah di hari lebaran.

Sumber: Mstar Online