Oleh Najmi Mamat
Usahawan muda yang popular di Instagram, Jo Fliam, semalam dilihat berkongsi pengalamannya bercuti di Dungun, Terengganu bersama isterinya, yang dikenali ramai sebagai Cik Epal.
Dalam video pendek berdurasi satu minit itu, Jo Fliam mengakui pengalamannya bercuti di negeri ini merupakan pengalaman yang paling manis buatnya. Jelasnya, orang Terengganu bersikap pemurah dan mesra.
“Saya boleh simpulkan orang Terengganu antara yang paling pemurah dan mesra saya pernah jumpa. Ni kali pertama saya tak boleh makan dekat luar disebabkan banyak makanan saya dapat. Ada yang tahan kereta tepi jalan, semata nak bergambar,” katanya tentang keterujaan peminatnya di Terengganu sehingga membuatkannya terharu.
Dalam pada itu, setelah berkongsi beberapa kedai makan yang disinggahnya, pengusaha baju melayu 5 Waktu itu juga menyifatkan negeri Terengganu sebagai tempat yang mempunyai keistimewaan pada jenis makanan. Disyorkan oleh peminatnya, Jo juga tidak melepaskan peluang untuk singgah makan di kedai mee sup champa yang terkenal disitu.
“Bagi saya Terengganu ada makanan-makanan tersendiri terutama kuih-muih yang pelik-pelik, saya seumur hidup baru pertama kali dapat tengok,” terangnya.
Lebih menarik, menerusi video ‘stories’ yang dikongsinya di laman Instagram, rata-rata peminat yang menyedari kedatangannya di situ sanggup turun padang untuk berjumpa dengannya. Ada yang sanggup datang jauh dari Kuala Terengganu semata-mata untuk bersua muka dengannya. Ada juga yang tidak melepaskan peluang untuk membelanjakan makanan dan minuman yang sedap di sekitar daerah itu.
Meskipun pernah terdengar bualan orang ramai tentang sikap orang Terengganu yang kasar, namun Jo tidak bersetuju. Sebaliknya, Jo menasihati agar tidak bersikap prejudis dengan mengenali hati budi seseorang terlebih dahulu.
Terdahulu, Jo dan keluarganya tidak melepaskan peluang untuk singgah di negeri Kelantan dan usahawan itu turut memuat naik video menyatakan pandangannya terhadap negeri itu yang disifatkan sebagai sebuah negeri yang tenang, bukannya bertujuan untuk hiburan.
View this post on InstagramA post shared by Jofliam🍼 (@jofliam) on
Sumber: Instagram @JoFliam
Foto Instagram Jo Fliam