Batu Bersurat Piagam Terengganu Mercu Tanda Peradaban Islam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Sumber : Ganupedia

Selain kertas, batu juga merupakan salah satu medium bagi menyebarkan ilmu. Penemuan batu bersurat seperti Batu Bersurat Piagam Terengganu, Batu bersurat Pagar Ruyung dan banyak lagi batu bersurat yang lain membuktikan bahawa sememangnya batu merupakan medium penulisan pada zaman dahulu. Namun, Batu Bersurat Piagam Terengganu merupakan satu batu ukiran bertulisan paling tua dan menggunakan tulisan Jawi. Ini membuktikan bahawa Islam telah tiba di Terengganu menjelang 1300 Masihi. Prasasti ini seberat 214.8kg.

Pada 13 Julai 2009, sidang mesyuarat Lembaga Penasihat Antarabangsa UNESCO di Barbados telah mengiktiraf bahawa Batu Bersurat Piagam Terengganu sebagai artifak bernilai tinggi dan mendapat pengiktirafan Warisan Dunia UNESCO. Permohonan pengiktirafan ini telah dibuat pada tahun 2008.

Isi Kandungan Batu Bersurat Piagam Terengganu

Batu Bersurat ini memberi keterangan mengenai pemerintah Islam yang bernama Mandalika. Catatan yang tertulis dalam huruf Jawi berbahasa Melayu pada awal abad ke-14M dengan pengaruh bahasa Sanskrit asal itu menerangkan tentang hukum Islam ke atas orang yang membuat salah di sisi agama Islam, seperti hukuman terhadap isteri atau suami yang curang dan sebagainya.

Ciri Batu bersurat Piagam Terengganu

Prasasti ini berukuran tinggi 84cm, dan berat 214.8 kg. Bahagian sebelah atas batu bersurat itu telah patah dan bahagian yang tinggal berbentuk kuboid, tetapi kuncup ke bawah.

Sejarah Penemuan Batu Bersurat

Prasasti ini ditemui setelah banjir surut pada tahun 1887 di tebing Sungai Tara yang terhakis akibat banjir. Batu itu seterusnya dibawa ke Surau Tok Abdul Rashid (Surau Tok Ki Rashid) di Kampung Buluh, Kuala Berang dan dijadikan alas untuk membasuh kaki sebelum naik ke surau kerana bentuknya yang bersegi.

Batu ini terus kekal sebagai alas kaki surau sehinggalah seorang usahawan berketurunan Arab iaitu Syed Husin Ghulam Al Bukhari tiba di surau berkenaan dalam usaha untuk mencari bijih di sekitar Kuala Berang. Beliau berulang alik dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang melalui sungai.

Pada tahun 1902 Masihi bersamaan 1320 Hijrah, beliau telah tiba di Sungai Tersat kira-kira jam 1.30 tengah hari. Tempat beliau berhenti tidak jauh daripada surau berkenaan dan ketika hendak melangkah naik ke surau berkenaan, beliau terpandang batu berkenaan yang mempunyai tulisan.

Selepas menunaikan solat Zohor, beliau terus menemui Penghulu Mukim iaitu Penghulu Ali bin Sulaiman dan bilal surau berkenaan. Menurut Penghulu Ali, batu berkenaan ditemui pada 1887 dan diusung oleh penduduk kampung ke surau berkenaan.

Kemudiannya, Syed Husin Ghulam Al-Bukhari meminta pertolongan daripada penghulu dan penduduk kampung untuk membersihkan batu berkenaan dan terlihatlah tulisan jawi terukir di baru berkenaan. Beliau terus meminta pertolongan penduduk kampung untuk memuatkan batu berkenaan ke dalam perahu untuk dibawa ke Kuala Terengganu.

Beliau mempersembahkan prasasti berkenaan kepada Sultan Zainal Abidin III namun tiada siapa yang dapat membaca tulisan berkenaan dan baginda memerintahkan supaya prasasti ini diletakkan di Bukit Puteri.

Pada Julai 1922, Penolong Penasihat British di Terengganu yang juga Ketua Bandaran, Mejar H.S. Peterson membawa prasasti ini ke Pejabat Bandaran Kuala Terengganu. Beliau juga mengarahkan tulisan di prasasti ini dikapurkan tetapi masih belum dapat difahami.

Salinan tulisan berkenaan juga dihantar ke Mekah untuk diterjemahkan tetapi maksud sebenar juga tidak diketahui. Beliau menjemput jurugambar dari Jepun iaitu N. Suzuki untuk merakamkan imej prasasti berkenaan dan dihantar ke Universiti Oxford di England.

Hasil kajian berkenaan, diputuskan bahawa kandungan prasasti ini merupakan satu pengisytiharan undang-undang Islam dan mereka menyatakan tarikh tulisan berkenaan adalah 702 Hijrah bersamaan 1303 Masihi.

Aspek peradaban dalam catatan Batu Bersurat Piagam Terengganu

  • Bukti kewujudan masyarakat dan negara Islam

Dalam catatan Batu bersurat di Terengganu, ini kita dapat mengesan kenyataan bahawa Terengganu mempunyai hubung kait dengan empayar Islam Indonesia, apabila gelaran pemerintah iaitu Mandulika telah turut dipakai. Gelaran Mandulika ini adalah ketua kerajaan di Indonesia yang tugasnya ialah bertanggungjawab mengislamkan dan menerapkan hukum Islam.

  • Pengamalan Undang-undang Islam

Pada permulaan catatan batu bersurat ini, ia dimulakan dengan keterangan tentang prinsip tauhid yang sempurna. Kemudian barulah catatan batu bersurat ini jelas menyatakan aspek perundangan. Catatan dalam Batu Bersurat Terengganu ini menyatakan 9 atau 10 hukum dalam bidang mu’amalat – mengemai hutang puitang, undang-undang keterangan, hukuman kerana enggan membayar denda atau melarikan diri daripada hukuman dan  hukuman bagi kesalahan zina yang meliputi hukum hudud.

  • Pengamalan ekonomi dan perdagangan

Apabila penulis menulis menulis mengenai harta, unit sukatan seperti tahil, paha dan saga,  dan hukum hakam berhutang, ini menunjukkan aktiviti ekonomi dan perdagangan rancak dilakukan di Kuala Berang.

  • Sistem  tulisan jawi

Tulisan Jawi berkembang pesat sejajar dengan penyebaran Islam, penggunaan tulisan jawi yang dipahat pada permukaan Batu Bersurat itu sendiri telah memperlihatkan kejayaan intelektual dan peradaban tinggi yang dicapai masyarakat Melayu pada zaman sejarah awal.

Tulisan jawi yang terdapat pada prasasti ini merupakan abjad piawai bahasa Melayu dan Sanskrit yang digunakan untuk menyampaikan hukum-hukum Islam. Penggunaan sistem tulisan jiwa ini menunjukkan pengaruh Islam yang kuat di Terengganu dan membuktikan bahawa masyarakat pada masa itu menggunakan tulisan jawi untuk perkembangan tradisi ilmuan. Ia turut menunjukkan bahawa masyarakat ketika itu literasi huruf dan ada di kalangan mereka yang mempunyai autoriti dalm bidang keagamaan.

  • Masyarakat celik ilmu falaq

Menurut Prof Mohd Zainiy Uthman, maklumat di batu bersurat tersebut menyebut hari, bulan dan buruj atau gugusan bintang, jadi ia berkaitan ilmu astronomi yang membuktikan tamadun Islam di alam Melayu datang serentak dengan ilmu falak.

Selain itu,  penggunaan istilah ‘sharatan’ pada Batu Bersurat tersebut yang merujuk kepada dua bintang dalam buruj Aries atau Ram yang membuktikan masyarakat masa itu sudah mempunyai pengetahuan dan menguasai ilmu falak seperti pencapaian awal dalam sejarah serta tamadun Islam terdahulu.

  • Pengetahuan kearifan tempatan

Apabila catatan hukum-hakam dipahat ia  menggambarkan pengetahuan tentang kemahiran memahat sudah ada pada masa itu. Selain itu, ia menunjukkan kemahiran si penulis untuk memilih batu-batu yang sesuai dijadikan medium penulisan.

Rujukan :

  1. https://ganupedia.com/2018/09/batu-bersurat-piagam-terengganu/
  2. Batu Bersurat Terengganu (Bbt) Sebagai Sumber Sejarah Dan Tamadun Islam Di Alam Melayu
  3. Abdul Razak Salleh , Batu Bersurat Terengganu: Perspektif Matematik, Vol. 32, No. 1: 1 – 15 (2010)
  4. https://www.thepatriots.asia/batu-bersurat-terengganu-lambang-sebuah-peradaban-agung/
  5. https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2019/07/590965/batu-bersurat-terengganu-bukti-peradaban-islam-alam-melayu