Agong Nasihat Rakyat Tenang Dan Jangan Buat Spekulasi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Rakyat diminta tenang, tidak panik dan elak dari menimbulkan spekulasi berhubung situasi terkini dalam negara, susulan pertemuan Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan Muhyiddin dalam pertemuan semalam.

Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut.

“Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara yang kita cintai bersama ini,”

Petang semalam, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Abdul Aziz, Kuantan.

Sesi menghadap tersebut telah dimohon Perdana Menteri susulan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan beliau di Putrajaya pada paginya. Berhubung kenaikan mendadak kes positif harian COVID-19 dan kewujudan beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat baginda supaya rakyat terus memainkan peranan masing-masing. Mereka juga diingatkan supaya berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan baharu bagi mengekang penularan koronavirus tersebut.

Ia penting dalam membantu pihak berkuasa memerangi COVID-19 demi keselamatan diri serta masyarakat, titahnya.Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama baginda berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman, serta penularan COVID-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera. – AWANI