Syeikh ‘Abd Sattar Abu Ghuddah : Tokoh Kewangan Islam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Syeikh ‘Abd Sattar Abu Ghuddah
Sumber : Facebook

Tidak sedikit yang menangisi pemergian Syeikh Abd Sattar Abu Ghuddah semasa mengetahui pemergiannya pada 23 Oktober 2020 yang lalu. Beliau merupakan seorang yang pakar dan terkemuka dalam bidang kewangan Islam kontemporari. Beliau juga merupakan anak saudara kepada tokoh dan ulama besar hadih Sheikh Abd Fattah Abu Ghuddah rahimahullah. Umum mengetahui bahawa beliau yang berasal dari Syria ini seorang yang berilmu tinggi namun merendah diri.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Undang-undang Islam (1964) dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Undang-Undang (1965) dari Universiti Damsyik. Kemudian beliau melanjutkan pengajian pascasiswazah di Mesir dan mendapat Sarjana dalam bidang Undang-Undang Islam (1966) dan sarjana  lain dalam bidang ilmu Hadis (1967). Beliau memperoleh Doktor Falsafah (1975) dalam Perbandingan Fiqh (Fekah) dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Dr Abdul Sattar Abu Ghuddah memulakan kariernya dalam bidang Syariah sebagai pensyarah di Institut Imam Al-Da’wa di Riyadh, Institut Agama di Kuwait, dan Fakulti Undang-Undang Syariah di Universiti Kuwait.

Atas ketinggian ilmu beliau, beliau banyak diberikan tanggungjawab untuk menjadi ahli bebeberapa organisasi. Beliau merupakan ahli Akademi Fiqh Islam Antarabangsa, Jeddah , Ahli Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah. Beliau pernah menjadi Pengerusi dan Anggota Lembaga Pengawas Syariah beberapa institusi kewangan Islam. Beliau juga merupakan anggota Lembaga Fatwa di Kementerian Kuwait dari tahun 1982-1990. Semasa berada di Dewan Fatwa, Dr Abu Ghuddah memberikan sumbangan dalam penyelidikan yang diperlukan untuk membuat Ensiklopedia Fiqh di Kuwait. Beliau menganggotai beberapa Lembaga Penasihat Syariah termasuk Organisasi Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Islam (AAOIFI), BNP Paribas, Al Rayan Bank, Aljazira Capital, S&P Dow Jones, Jordan Islamic Bank, Masraf Al Rayan Bank, Qatar Islamic Bank, Banque Saudi Fransi , Bank Nizwa, Takaful Medgulf, Solidariti Bahrain dan banyak lagi.

Dr Abu Ghuddah aktif dalam menulis artikel dan telah mengarang banyak penerbitan mengenai Kewangan Islam. Beliau banyak menghasilkan  buku-buku mengenai perundangan Islam dan keputusan mengenai isu-isu kontemporari . Selain itu, beliau turut menulis mengenai perubatan Islam dan etika bioperubatan. Beliau sering diundang menjadi ahli panel di persidangan dan forum Islam.

Dr Abdul Sattar Abu Ghuddah telah meninggal dunia pada hari Jumaat, 23 Oktober 2020 dipercayai akibat kesan jangkitan Covid-19. Ilmu beliau bertebaran di seluruh dunia kerana anak murid beliau adalah dari seluruh dunia.  Semoga Allah merahmati beliau atas sumbangan beliau dalam dunia kewangan Islam.

Sumber : Cilecenter, Isalmicmarket