Pemilik bangunan disaran melakukan kerja-kerja penyelenggaraan struktur bangunan secara berkala mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan keselamatan penghuninya terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, langkah itu perlu bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti yang menimpa Mohamad Aryan Defa Danish Mohd Azizul, 6, yang maut setelah tergelincir dari tingkat 15 flat Ladang Gemilang 1,Kuala Terengganu Ahad lalu berulang lagi.
Beliau berkata, kerajaan melihat insiden berkenaan sebagai iktibar, selain memandang serius isu keselamatan penghuni flat dan kondominium di negeri ini.
“Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga ini atas kemalangan yang berlaku. Saya harap kerja-kerja ‘maintenance’ sesebuah bangunan kediaman khususnya dibuat dengan baik dari semasa ke semasa. Saya juga akan panjangkan perkara ini (keselamatan bangunan) dalam mesyuarat Exco esok untuk tindakan lanjut.
“Difahamkan ketika kejadian, besi pada tingkap cermin nako kediaman mangsa longgar yang menyebabkan budak itu boleh buka cermin dan hulur kepala. Kepada semua pemilik bangunan kondominium serta flat yang ada di seluruh negeri Terengganu ini diminta buat pemeriksaan bagi memastikan kediaman tersebut selamat,”
Sementara itu, Hanafiah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa.
“Sesi kaunseling sangat membantu terutama kepada ibu bapa mangsa yang pastinya sedih dan trauma berikutan kehilangan anak tersayang. Saya telah berbincang dengan kaunselor kita daripada JKM dalam masa tiga empat hari ini supaya datang berjumpa keluarga ini untuk memberi nasihat dan motivasi kepada mereka ketika menghadapi saat-saat sukar ini,”
Katanya, diharapkan seluruh keluarga arwah tabah menghadapi ujian Allah ini. – TRDI NEWS