Kelantan Tangguh sambutan Maulidur Rasul

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri pada tahun ini ditangguhkan susulan peningkatan kes positif COVID-19 di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bagi penangguhan sambutan berkenaan. 

Bagaimanapun, beliau berkata, majlis sambutan Maulidur Rasul di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan syarat mematuhi had kapasiti muatan masjid dengan penjarakan satu meter dan mengikut SOP yang dikeluarkan sebelum ini.

“Sehubungan itu, MAIK menyarankan kepada semua umat Islam di seluruh negeri untuk menyambutnya bersama ahli keluarga di rumah masing-masing dengan selawat dan membaca sirah Rasulullah SAW bagi mengambil contoh dan tauladan daripada akhlak dan kehidupan baginda.

“Semoga kecintaan kita kepada Rasulullah SAW akan terus subur dan bertambah sepanjang masa,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Sumber : BeritaHarian