UniSZA Sedia Kelas Tuisyen Percuma Bantu Pelajar B40 Hadapi SPM

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Program 3T (Teens Tuition Teens) menyediakan kelas tuisyen percuma kepada pelajar golongan B40 yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA Prof Mohd Afandi Salleh berkata bagi peringkat awal, program itu melibatkan 40 pelajar yang tinggal di rumah pangsa sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, SMK Seri Budiman, SMK Padang Negara dan SMK Chendering.

Foto : Prof Mohd Afandi Salleh

Beliau berkata program itu dijalankan dengan kerjasama antara Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Ladang bagi tempoh dua tahun bermula 2 Nov lepas sehingga Disember 2022.

“Bagi program ini seramai 20 pelajar dari Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA (PUSPA) serta Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (FPP) telah dilantik sebagai tenaga pengajar sepanjang program berlangsung”

“Pada tahun ini enam subjek akan diajar pada program itu iaitu Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden dan Prinsip Akaun. Bagi tahun hadapan pula kita rancang untuk menambah bilangan pelajar daripada 40 kepada 120 pelajar dan melibatkan 10 mata pelajaran”

Menurut Mohd Afandi penganjuran program itu bertujuan memenuhi sebahagian daripada keperluan Pelan Strategik UniSZA iaitu menjadikan UniSZA sebagai Hero Komuniti yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat khususnya di sekitar daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. –BERNAMA