Akad Nikah Terhad Di JHEAT, Pejabat Agama Daerah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Majlis akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi negeri Terengganu hanya boleh diadakan di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Pejabat Agama Daerah (PAD).

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, arahan yang berkuatkuasa serta merta itu bertujuan menjaga keselamatan orang ramai dan memudahkan pemantauan pematuhan tatacara.

“Pelaksanaan di premis persendirian, masjid, surau atau tempat- tempat awam yang lain adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan khas daripada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju’ Orang lslam Negeri Terengganu melalui borang A. Pegawai Agama Daerah akan menentukan jurunikah dan waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual yang akan disusun oleh pihak PAD dengan mengambil kira perbincangan dengan pihak pemohon,”

Katanya, kehadiran orang ke majlis perlu diminimakan iaitu tidak melebihi 15 orang dewasa dan keutamaan kepada yang berkeperluan untuk hadir seperti seorang jurunikah, pengantin lelaki, pengantin perempuan, seorang wali, serta masing- masing dua orang saksi bagi pengantin lelaki dan pengantin perempuan.

Menurut Mat Azmi, tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dipendekkan dan tidak melebihi 30 minit.

“Individu yang mengalami gejala seperti batuk, selsema, demam dan sesak nafas tidak dibenarkan hadir dalam majlis tersebut termasuk kanak-kanak dan warga emas berisiko.  Semua yang hadir pada majlis akad nikah berkenaan hendaklah didaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon di dalam borang B dan diserahkan kepada PAD atau wakilnya dan perlu menggunakan hand sanitizer (penyahkuman) sebelum dan selepas majlis akad nikah”

Sementara itu katanya, upacara adat istiadat dalam majlis tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali – TRDI NEWS