Kelantan sedia peruntukan khas tangani masalah sosial

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.95 juta bagi program bersepadu menangani gejala sosial di negeri ini.

Exco Belia, Sukan dan NGO, Wan Roslan Wan Hamat berkata, penyalahgunaan dadah, ketum serta arak merupakan antara salah satu agenda disenaraikan dalam program tersebut yang akan dilaksanakan bermula tahun depan.

“Kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 pada tahun 2020 untuk Program Pendidikan Pencegahan dan Program Induk Transformasi Ummah (Pintu) Kepada Orang Kena Pengawasan (OKP) yang telah disalurkan melalui Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kelantan.

“Program ini akan dilaksanakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Kelantan (AADK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan yang diajukan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mengenai peruntukan yang telah dikhaskan oleh kerajaan bagi menampung projek-projek pencegahan antidadah serta sejauh mana keberkesanan program antidadah yang telah dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata, AADK Kelantan telah menerima peruntukan dari AADK Ibu Pejabat berjumlah RM231,470 untuk dua fasa bagi melaksanakan beberapa program di seluruh daerah.

Katanya, antara program yang disenaraikan ialah program kepada keluarga yang berisiko, program kepada masyarakat dalam komuniti, program PINTAR, program Tempat Kerja Bebas Dadah, Tomorrows Leader, Program SMART, program Community Empowerment (CE) dan sebagainya.

“AADK juga telah melaksanakan program Inisiatif Bersepadu Menangani Penyalahgunaan Dadah, Substans dan Pelencongan Sosial di kawasan Pengkalan Chepa.

“Program ini melibatkan golongan pelajar sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, keluarga, belia dan pemimpin tempatan. Pihak kerajaan Persekutuan telah menyalurkan geran kepada AADK dan geran ini telah diagihkan kepada sembilan jabatan dan 10 badan bukan kerajaan (NGO).

“Ia untuk melaksanakan program inisiatif bersepadu di kawasan Pengkalan Chepa, ia dilaksanakan secara bersasar dan ada juga melibatkan kerjasama pemimpin komuniti,” katanya.

Sumber: Sinar Harian