125 Taska Di Terengganu Dibenar Beroperasi Jika Cukup Syarat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Sebanyak 125 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di negeri Terengganu akan diberi kebenaran untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekiranya mematuhi syarat dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, permohonan kesemua taska tersebut sedang diteliti oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum apa-apa keputusan dibuat.

Menurut Hanafiah, daripada 125 taska, 122 merupakan institusi taska berpusat, manakala tiga lagi taska di rumah melibatkan 1,870 kanak-kanak.

“Kerajaan putuskan supaya taska dan pusat jagaan harian yang menjaga anak-anak petugas barisan hadapan dan ibu bapa perlu keluar bekerja dalam tempoh PKPB dibenarkan operasi sekiranya mereka memenuhi syarat. Antara syarat itu adalah pendaftaran taska dengan JKM masih sah, mematuhi SOP PKP Pemulihan iaitu Garis Panduan Pencegahan Penularan Covid-19 pasca PKP dan mendapat kebenaran daripada JKM. Selain itu, taska yang memohon juga perlu melampirkan surat pengesahan dan arahan bekerja di pejabat oleh majikan ibu bapa kanak-kanak berkenaan”

Hanafiah berkata, kebenaran operasi taska dan pusat jagaan harian dalam tempoh PKPB adalah selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) yang sedang dikuatkuasakan.

“Bancian dilakukan kerajaan pada 23 hingga 25 Oktober lalu mendapati ada keperluan kebenaran operasi taska dan pusat jagaan harian yang menjaga anak-anak petugas barisan hadapan serta ibu bapa yang keluar bekerja. Bagaimanapun, kebenaran ini akan dibatalkan sekiranya terdapat arahan terkini daripada mana-mana pihak berkuasa berhubung perkara ini”
 

Sumber : TRDI News