“Tapir” ditemukan mati dipercayai dilanggar di Kuala Krai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Seekor tapir jantan ditemukan mati di Kampung Sri 10, Sungai Durian-Chenulang, Kuala Krai dipercayai akibat dilanggar kenderaan malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan bangkai tapir dianggarkan berusia 25 hingga 35 tahun seberat 150 kilogram pada 10 malam.

Katanya, sepasukan anggota Perhilitan bergegas ke tempat kejadian dan mendapati tapir itu mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

“Kami mendapati keadaan jalan di tempat kejadian adalah jalan lurus menuruni bukit dan tiada lampu jalan, yang mana kawasan laluan ini adalah sangat gelap dan membahayakan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ady Ermanty Haniff berkata insiden kematian tapir adalah membimbangkan berikutan sebahagian besar hutan simpan di kawasan terbabit ditukar kepada ladang hutan dan menyebabkan hidupan liar meluaskan kawasan rayauan untuk mencari makanan, pasangan atau perkumpulan mereka.

Beliau berkata Perhilitan melaksanakan pemantauan dan rondaan malam secara berkala dari semasa ke semasa bagi mengelakkan hidupan liar keluar ke jalan raya, di samping pelaksanaan program inventori bagi semua kawasan hutan yang terpulau atau tersepit.

Ady Emanty Haniff turut menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya terutama pada waktu malam.

Sumber : Bernama