Tapak Arkeologi Gua Cha di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan yang menjadi lokasi penemuan rangka tulang manusia terpanjang di dunia dan pelbagai barangan purba sejak beratus tahun lalu, sentiasa menarik tumpuan pelancong.
Malah, fakta bersejarah mengenainya kawasan itu yang terletak di tepi Sungai Nenggiri pernah dijadikan tempat berkumpul bagi pelepasan aktiviti berakit peringkat antarabangsa ke Kampung Orang Asli Pos Pulat.
Ternyata peserta luar negara yang menyertai cabaran berakit Sungai Nenggiri pada ketika itu teruja dan mengambil kesempatan melihat lokasi sejarah dalam Gua Cha terbabit yang tidak ditemui di tempat lain.
Walaupun pengunjung terpaksa melalui jalan balak yang mencabar dari Kampung Kuala Betis ke Gua Cha tetapi puas hati selepas melihat keindahan lokasi terbabit.
Gua Cha ditemui pada 1936, terletak tidak jauh dari kampung Orang Asli, Pos Tohoi, sentiasa jadi tempat mereka berkumpul mencari pokok herba tongkat Ali dalam kawasan hutan berhampiran.
Menariknya, di Gua Cha pengunjung boleh mendaki hingga ke puncak dengan trek mencabar. Mereka dapat melihat keindahan alam semula jadi yang cantik di kawasan kelilingnya.
Hutan asli sekitarnya termasuk ada pokok balak besar lebih dua pemeluk berusia beratus tahun.
Seorang pengunjung, Mohd Latif Sulaiman, 41, dari Ipoh, Perak, berkata Gua Cha bersejarah itu wajar dimajukan sebagai pusat pelancongan menarik di daerah ini.
Katanya, ia patut dibina lebih banyak kemudahan tempat rehat untuk orang ramai bersantai dan kemudahan sedia ada sudah rosak.
Beliau teruja berkunjung ke Gua Cha itu bagi melihat sendiri tempat bersejarah penemuan barang purba beratus tahun dan penemuan rangka manusia terpanjang dunia.
“Walaupun ia sudah tinggal kenangan apabila hanya tinggal lubang kubur selepas rangka manusia terpanjang dunia diambil pihak tertentu sebagai warisan sejarah.
“Namun, saya melihat sendiri kesan sejarah itu di Gua Cha ini boleh berkongsi pengalaman dengan rakan lain dan mungkin akan lebih ramai lagi mengunjungi tempat ini,” katanya.
Berdasarkan penerokaannya di situ, rasa sedih apabila kawasannya dilihat terbiar hingga papan tanda dibina tertera ‘Tapak Arkeologi Gua Cha’ sudah buruk mungkin tiada kerja penyelenggaraan dilakukan.
“Walaupun masih ramai berkunjung ke sini kerana suasana kelihatan menarik tetapi sekarang semakin terbiar dan banyak kemudahan rosak,” katanya.
Penduduk Orang Asli, Pos Tohoi, Shuib Kamaruddin, 36, berkata sebagai penduduk tempatan beliau juga bimbang dengan keadaan Gua Cha semakin terbiar.
Katanya, keadaan demikian bakal hilang tumpuan pelancong walaupun pernah sebelum ini tidak putus-putus pihak tertentu menganjurkan pelbagai program.
“Kawasan itu juga ketika beberapa tahun dahulu menjadi tumpuan pengkaji sejarah termasuk pelajar universiti tetapi kini semakin hilang seri dengan keadaan terbiar,” katanya.
Shuib berkata, beliau mahu gua berkenaan diselia dengan baik.
Kawasan ini juga pernah menjadi pilihan untuk aktiviti lasak seperti perkhemahan serta ekspedisi berakit melalui Sungai Nenggiri ke kampung Orang Asli Pos Tohoi dan Pos Pulat.
“Jika keadaan ini berterusan tidak mustahil khazanah sejarah itu semakin dilupakan dan pelancong tidak lagi berminat ke gua berkenaan,” katanya.
Beliau khuatir dengan keadaan negara yang berhadapan dengan pandemik COVID-19, ramai yang tak akan keluar ke tempat sebegini dan mungkin keadaan akan menjadi tambah teruk jika tidak diselia dengan baik.
Gua Musang kaya dengan pelbagai produk pelancongan, justeru ia perlu dikekalkan supaya ia mampu menarik kunjungan pelbagai pihak apabila keadaan membenarkan untuk aktiviti seumpama itu dilakukan secara agresif, nanti.
Sumber : BHarian