Tiga sungai di Kelantan menghampiri paras amaran selepas hujan lebat tanpa henti di beberapa kawasan sejak malam tadi.
Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat jam 10 pagi hari ini, tiga sungai melepasi paras waspada iaitu Sungai Kampung Lembaga di Gua Musang dengan catatan paras air 84.45 meter (m); Sungai Kuala Krai, 20.14m dan Sungai Pergau di Air Bol, Jeli, 72m.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Md Salleh Sarbini, berkata paras air sungai meningkat kerana taburan air hujan yang tinggi di kawasan terbabit.
“Berdasarkan rekod yang kita ada, paras air Sungai Kampung Lembaga mencapai tahap amaran dengan bacaan 85.6m, manakala Sungai Kuala Krai ialah 22.5m, diikuti Sungai Pergau, 73m.
“Jika hujan turun berterusan kemungkinan banjir boleh berlaku jika air melebihi tebing sungai.
“Justeru, semua penduduk terutama di kawasan berdekatan sungai harus berwaspada dan sentiasa peka dengan paras air di kawasan masing-masing.
“Selain itu, langkah awal seperti mengemas rumah serta dokumen penting atau berpindah ke pusat pemindahan sementara lebih awal perlu dilakukan bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Md Salleh berkata, pihak JBPM sentiasa bersedia menghadapi musim tengkujuh daripada segi fizikal dan mental selain menyiapkan segala persiapan logistik lebih awal bagi melancarkan tugas setiap anggota di balai yang terbabit dengan banjir.
Sumber : Berita Harian