Mangsa banjir di Kuala Krai meningkat sedikit pagi ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Krai, meningkat pagi ini kepada 14 orang daripada tiga keluarga berbanding enam orang daripada dua keluarga petang semalam.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, ketika ini terdapat penambahan satu PPS yang dibuka di daerah itu iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Guchil berbanding hanya satu PPS di Masjid Lama Keroh.

Lapan mangsa ditempatkan di PPS SK Banggol Guchil manakala PPS Masjid Lama Keroh, Kuala Krai menempatkan enam mangsa, termasuk seorang bayi perempuan. 

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat 8 pagi ini, Sungai Kelantan di Kuala Krai menunjukkan bacaan melebihi paras waspada iaitu 22.01 meter (m) berbanding paras biasa 20 m tetapi ia menunjukkan trend menurun.

Kelihatan para penduduk Pasir Kelang yang menggunakan perkhidmatan bot penambang terpaksa meredah air sungai berikut peningkatan paras Sungai Kelantan ketika tinjauan fotoBernama di Pengkalan Feri Pasir Kelang, Kuala Krai. - Foto BERNAMA
Kelihatan para penduduk Pasir Kelang yang menggunakan perkhidmatan bot penambang terpaksa meredah air sungai berikut peningkatan paras Sungai Kelantan ketika tinjauan fotoBernama di Pengkalan Feri Pasir Kelang, Kuala Krai. – Foto BERNAMA

Bacaan paras air Sungai Kelantan di Kusial Baru, Tanah Merah juga turut menunjukkan bacaan melebihi paras waspada iaitu 13.15 m berbanding paras biasa 12.5 m manakala Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah juga mencatatkan bacaan melebihi paras waspada iaitu 13.24 m berbanding paras biasa 12 m.

Paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas turut menunjukkan bacaan melebihi paras waspada iaitu 7.72 m berbanding paras biasa 7 m.

Cuaca di seluruh Kelantan pada pagi ini adalah mendung dengan sesekali hujan renyai. 

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk peringkat jingga dengan hujan lebat berterusan di tiga negeri di Pantai Timur Semenanjung hingga Jumaat yang membabitkan lima kawasan di Kelantan iaitu Kota Bharu, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai, selain Terengganu dan Kuantan, Pahang

Sumber : Berita Harian Online