Dua PPS dibuka di Kuala Krai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kelantan berikutan keadaan hujan lebat sejak kelmarin dengan menempatkan 14 mangsa di Kuala Krai.

Mengikut aplikasi Info Bencana Kebajikan Negeri Kelantan sehingga jam 12 tengah hari ini, dua PPS beroperasi iaitu di Masjid Lama Keroh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Guchil.

Aplikasi tersebut juga memaklumkan enam mangsa terdiri daripada dua keluarga ditempatkan di Masjid Lama Keroh, manakala sebuah keluarga membabitkan lapan orang dipindahkan ke SK Banggol Guchil.

Kesemua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa, tiga kanak-kanak lelaki, empat kanak-kanak perempuan dan seorang bayi perempuan.

Kawasan rumah penduduk yang dinaiki air.

Sementara itu, portal http://infobanjir.water.gov.my sehingga jam 12 tengah hari ini juga menunjukkan bacaan air di beberapa sungai melebihi paras berjaga-jaga.

Paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang sudah menghampiri paras amaran yang mana bacaan terkini ialah 7.84 meter (amaran 8m) berbanding jam 8 pagi tadi sungai berkenaan berada pada bacaan 7.59 m (berjaga-jaga 7m).

Sungai Kelantan di Kuala Krai masih melepasi paras berjaga-jaga iaitu 22.38m (berjaga-jaga 20m).

Sementara itu, Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah juga masih melepasi paras berjaga-jaga meskipun menunjukkan trend sedikit menurun iaitu berada pada bacaan 13.20 (berjaga-jaga 12m).

Sumber: Sinar Harian