Kumpulan hak asasi manusia mendakwa kerajaan Bangladesh memaksa dan memindahkan ratusan pelarian Rohingya ke kawasan pulau yang terdedah kepada taufan dan banjir. Setakat ini hampir sejuta pelarian Rohingya tinggal di kawasan kem yang kotor di tenggara Bangladesh.
Bagaimanapun, keengganan mereka untuk pulang ke Myanmar sehingga tercetusnya aktiviti keganasan dan dadah, menyebabkan kerajaan mula hilang sabar serta berusaha untuk membersihkan kawasan kem.
Hari ini, lebih 20 bas yang membawa ribuan pelarian meninggalkan kem di kawasan Cox Bazar, menuju ke bandar pelabuhan Chittagong.
Menurut Ketua Polis Daerah, Anwar Hossain, 20 bas melakukan dua perjalanan.
“Terdapat 423 orang dalam 10 bas pertama dan 499 dalam 10 bas kedua,” katanya.
Dari Chittagong, pelarian Rohingya dijangka dibawa menaiki pesawat tentera ke pulau Bhashan Char.
Pulau sebesar 13,000 ekar (52 kilometer persegi), adalah salah satu kawasan di Teluk Benggala.
Pihak tentera menyediakan tempat perlindungan untuk sekurang-kurangnya 100,000 pelarian, termasuk tebing banjir berukuran lebih tiga meter.
Bagaimanapun, penduduk tempatan berkata, air pasang menyebabkan kawasan itu sering banjir dan terkena ribut taufan setinggi empat hingga lima meter.
Lebih banyak bas akan meninggalkan kawasan itu (Cox Bazar) hari ini, yang dipercayai akan memindahkan seramai 2,500 orang dalam fasa pertama.
Kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty International mendakwa kebanyakan pelarian dipaksa untuk meninggalkan Cox Bazar.
Menurut Sufia Khatun, 60, pihak polis memukul anak lelakinya tanpa belas kasihan sehingga patah gigi, dalam usaha memaksa mereka untuk bersetuju pergi ke pulau berkenaan.
“Saya datang ke sini untuk bertemu beliau dan keluarganya, mungkin untuk kali yang terakhir,” katanya. – AFP