Benteng Kawal Hakisan Pantai Pengkalan Maras Dibina Minggu Depan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kerja-kerja pembinaan benteng dan menambun pasir sepanjang kira-kira 200 meter bagi mengelak hakisan di Pantai Pengkalan Maras bertambah teruk akan dimulakan minggu depan.

Menterinya, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek bernilai RM800,000 itu dijangka memakan masa selama enam minggu untuk siap sepenuhnya.

Katanya, langkah terbabit bakal menyelamatkan kawasan perkuburan Islam di kampung berkenaan yang dibimbangi tenggelam ekoran masalah hakisan yang makin meruncing.

Kredit gambar
Kredit gambar : TRDI News

“Sebenarnya kita sudah ada pelan kajian terperinci secara holistik di kawasan ini membabitkan peruntukan sebanyak RM90 juta tetapi disebabkan keadaan hakisan di kawasan itu semakin kritikal, maka  kementerian telah meluluskan RM800,000 untuk membina benteng.

“Harapan kita agar projek ini dapat menyelamatkan buat sementara waktu tanah perkuburan dan sekitarnya sebelum kita melaksanakan projek kekal yang menelan belanja kira-kira RM90 juta  untuk keseluruhan kawasan pantai di Terengganu,” katanya.

Tuan Ibrahim turut memberitahu, pihaknya kini giat berbincang dengan kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian terbaik yang boleh diambil kedua-dua pihak berhubung isu hakisan pantai di Terengganu yang semakin buruk terutama pada musim tengkujuh.

“Kita menerima laporan tentang situasi pantai di Terengganu dan sebab itu kajian holistik secara keseluruhan perlu dilakukan bagi memantau dan mengatur perancangan berkesan.

“Saya dalam perbincangan dengan kerajaan negeri untuk melihat langkah yang boleh diambil berhubung isu ini kerana ada ketikanya pembinaan benteng berisiko menyebabkan kawasan lain terjejas dengan kerosakan,” katanya.

Dua minggu lalu, Kementerian Alam Sekitar dan Air telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM800,000 bagi pembinaan benteng dan menambun pasir di kawasan pantai di Kampung Pengkalan Maras.