Apa Beza Sertu dan Samak?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Islam sangat mementingkan kebersihan. Dalam aspek penyucian, terdapat beberapa kaedah penyucian bagi membasuh najis antaranya samak dan sertu. Namun begitu, sering kali ramai yang sering tertukar dengan kedua-dua istilah ini.

Apa maksud sertu?

Sertu adalah proses menyucikan sesuatu daripada najis mughalazah (najis berat) iaitu anjing, babi, dan keturunannya. Cara basuhannya adalah tempat yang terkena najis perlu dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali dan salah satu padanya air tanah sama ada najis tersebut najis aini atau najis hukmi. Sama ada terkena pada pakaian, badan, atau tempat.

Dalam sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : “Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.” [HR Muslim]

sabda Rasulullah S.A.W: “Apabila seekor anjing minum di dalam bekas salah seorang kami maka hendaklah kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan.” [HR AlBukhari]

Dalam situasi hari ini, sertu kebiasannya dilakukan apabila pakaian terkena najis mughallazah atau premis yang membeli alatan atau mesin mengesyaki barang tersebut pernah terkena najis mughallazah.

Apa pula maksud Samak?

Samak adalah proses menyucikan kulit haiwan yang boleh dimakan atau tidak, iaitu dengan menghilangkan darah, daging dan semua yang melekat pada kulit yang membusukkan jika tidak dibuang. Caranya adalah menggunakan sesuatu alat yang tajam sifatnya seperti tawas, buah manjakani, asam, limau cuka dan seumpamanya. Menyamak tidak khusus kepada orang Islam sahaja bahkan orang Musyrik juga boleh menyamak asalkan ia mengikut cara yang digariskan oleh Syarak .

Sabda Rasulullah s.a.w, “Kulit apapun jika disamak, ianya suci.” [HR At-Tirmizi]

Daripada Salamah Bin Al-Muhabbak Al-Huzali :

أَنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي غَزْوَةِ تَبُوكَ دَعَا بِمَاءٍ مِنْ عِنْدِ امْرَأَةٍ فَقَالَتْ مَا عِنْدِي إِلاَّ فِي قِرْبَةٍ لِي مَيْتَةٍ ، فَقَالَ : أَلَيْسَ قَدْ دَبَغْتِهَا ؟ قَالَتْ : بَلَى قَالَ فَإِنَّ دِبَاغَهَا ذَكَاتُهَا

Maksudnya :” Sesungguhnya Nabi SAW ketika perang Tabuk memohon air daripada seorang wanita. Wanita itu berkata : Tiada apa pada aku melainkan ada bekas air yang dibuat daripada kulit bangkai. Nabi SAW bertanya : bukankah engkau telah menyamaknya? Wanita itu menjawab :Ya, aku telah menyamaknya. Nabi SAW bersabda : Sesungghnya samak itu sama seperti menyembelihnya (iaitu menjadi suci dan boleh digunakan).”

Kata Imam Al-Nawawi :

“Setiap daripada kulit haiwan yang menjadi najis disebabkan mati (iaitu bangkai) boleh disucikan dengan samak.Kecuali khinzir dan anjing atau apa yang lahir dari kedua-duanya. Inilah yang disepakati dalam mazhab kami.”

Samak kebiasaanya dilakukan apabila seseorang itu hendak membersihkan kulit binatang seperti kulit lembu yang telah disembelih bagi membersihkan lendir dan darahnya untuk menghasilkan produk kulit lembu.

Hikmah Sertu dan Samak

Amalan sertu adalah satu perkara ibadat yang telah disarankan oleh Baginda Rasulullah SAW melalui hadith-hadith yang telah diriwayatkan. Amalan ini dianggap sebagai perkara ‘li ta’abbudi’ iaitu melakukan sertu seperti mana yang telah disarankan oleh Baginda. Antara hikmah sertu ialah untuk menghindarkan penyakit dari dijangkiti oleh sebarang kuman yang terdapat pada binatang. Hikmahnya yang lain juga adalah untuk menunjukkan Islam ialah agama yang mementingkan kebersihan dalam penggunaan peralatan harian.