2020 tahun terburuk buat banduan Palestin di Penjara Israel

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tahun ini merupakan tahun terburuk bagi tahanan Palestin di penjara Israel yang terdiri daripada 4,400 warga Palestin, termasuk 41 wanita, 160 kanak-kanak dan 700 pesakit yang sakit, yang kini ditahan di pusat tahanan Israel, menurut pemimpin Palestin.

Qadri Abu Bakr, ketua Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Pihak Berkuasa Palestin menyatakan, Pihak Israel telah bertindak lebih keras terhadap rakyat Palestin tahun ini. “2020 adalah tahun terburuk bagi tahanan Palestin. Pentadbiran penjara menyerang bahagian tahanan hampir setiap hari.”

Selain menekankan bahawa tahanan juga dikenakan kurungan tanpa syarat kemanusiaan, pihak  Israel juga telah meluluskan undang-undang untuk mengenakan tindakan yang lebih ketat.

Seramai 137 tahanan dijangkiti oleh COVID-19 di Penjara Gilboa di utara Israel, namun pihak Israel tidak peduli dengan kehidupan para tahanan dan tidak mengambil langkah-langkah perlindungan.

Sudah terang lagi bersuluh pihak Israel secara berterusan telah melanggar hak-hak dasar Palestin di penjara-penjara, termasuk penyiksaan, penindasan, serangan dan penolakan rawatan perubatan yang betul.

Pada bulan Mac, pihak berkuasa penahanan Israel memutuskan untuk mengurangi makanan roti, air dan daging untuk tahanan Palestin, sekali lagi memperlihatkan pelanggaran hak asasi manusia di penjara Israel.

Laporan dari pihak Middle East Monitor pada bulan September 2018 menunjukkan bahawa penjajah Israel telah menahan 120,000 orang Palestin sejak Perjanjian Oslo ditandatangani oleh Pasukan Pembebasan Palestin (PLO) dan Israel pada tahun 1993.

Kira-kira 2,000 wanita dan lebih daripada 17,500 kanak-kanak telah ditahan sejak Perjanjian Oslo, menurut laporan itu. Lebih daripada separuh rakyat Palestin, sebahagian menteri, ratusan ahli akademik dan kakitangan organisasi bukan kerajaan dan antarabangsa telah ditangkap oleh pasukan Israel dalam tempoh ini. Mereka ditahan dalam keadaan yang teruk, yang menyebabkan kematian ratusan orang Palestin di penjara Israel.

Lebih daripada 400 kanak-kanak ditangkap oleh tentera Israel dalam 10 bulan pertama tahun ini, kata Persatuan Tawanan Palestin (PPS) bulan lalu. Sejak 2015, Israel telah mengeluarkan undang-undang baru yang membenarkanpengeluaran hukuman penjara yang panjang untuk anak-anak, dalam beberapa kasus hingga penjara seumur hidup. Menurut PPS lagi, Israel telah menahan kira-kira 7,000 kanak-kanak sejak 2015.

Beberapa organisasi iaitu The Palestin Prisoners Club, the Prisoners of Conscious and Human Rights Protection Organization telah mengumumkan, dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada bulan September bahawa telah berlaku kematian seramai 216 tahanan Palestin di penjara Israel sejak tahun 1967 lagi.

Di antaranya, tujuh ditembak, 72 yang lain diseksa hingga mati dan 59 kehilangan nyawa kerana kekurangan rawatan perubatan. Kenyataan itu menyatakan bahawa rakyat Palestin di penjara Israel diperlakukan secara “tidak berperikemanusiaan”, termasuk penyiksaan fizikal dan psikologi. Sebanyak 60% tahanan telah mengalami “serangan fizikal yang kejam.”

Kenyataan itu juga mendesak Setiausaha Jeneral PBB Antonio Guterres untuk melancarkan jawatankuasa khas untuk meneliti kematian Palestin di penjara Israel.