Tiada pesakit positif ditempatkan di First World, saringan dilakukan Jabatan Kesihatan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Semua saringan Covid-19 di Genting Highlands dilakukan oleh Jabatan Kesihatan dan bukannya oleh pihak swasta seperti yang tular dalam media sosial.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata, dakwaan berkenaan tidak benar malahan semua individu yang didapati positif dihantar ke pusat kuarantin ditetapkan dan bukannya ke Hotel First World seperti yang tular dalam media sosial.

“Mana-mana individu yang disahkan positif dibawa ke pusat kuarantin dan rawatan ditetapkan manakala yang tidak positif diletakkan di Hotel First World. Jadi tidak timbul isu seperti yang ditularkan di media sosial pada masa ini yang menyatakan individu positif diletakkan di Hotel First World,”katanya

Semalam tular dalam media sosial mendakwa saringan kes Covid-19 di Genting Highlands dilakukan pihak swasta dan diletakkan di Hotel First World. Susulan itu juga dakwaan yang tular menyatakan pihak polis telah bertindak naik ke kawasan berkenaan semalam.

Dalam pada itu, Mohd Zairasyahli berkata, pihak polis telah lama berada di kawasan berkenaan bagi mengawal dan melakukan pemantauan susulan penularan kes Covid-19.

Katanya, kawalan ketat dilakukan selepas beberapa kawasan di Genting Highlands dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).