COVID-19: TIADA PESAKIT LARI DARI PKRC SUKPA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tiada insiden cubaan melarikan diri oleh pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin  dan Rawatan  COVID-19 (PKRC) SUKPA seperti yang dikhuatiri orang ramai.

Menurut kenyataan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, seramai 132 orang pesakit dari kluster Genting dan sepuluh orang dari kluster Kuala ditempatkan di PKRC sehingga semalam. Kawalan keselamatan peringkat tertinggi dilaksanakan di PKRC oleh PDRM dan Pasukan Sahabat selain penggunaan CCTV dalam dewan untuk memantau situasi semasa.

“Tiada sebarang penularan dalam komuniti yang berpunca daripada Kluster Genting dan berdasarkan perkembangan terkini di Kuantan, terdapat empat kluster aktif iaitu Kluster Atabara, Kluster Inten (di kawasan Indera Mahkota), Kluster Kuala (di sekitar kawasan pusat bandar) dan Kluster Kristal (di sekitar Sungai Karang Darat),” dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, semua kluster yang dikesan masih menyumbang kes aktif dan berisiko tinggi untuk penularan dalam komuniti.

“Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan telah mengenalpasti seramai 763 orang kontak rapat melibatkan 258 buah rumah/premis daripada keempat-empat kluster berkenaan dan bilangan tersebut dijangka akan meningkat,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Kerajaan juga tidak berhasrat untuk mengetatkan lagi kawalan di daerah Kuantan jika keadaan bertahan atau tiada perebakan luar biasa dikesan.

“Namun begitu orang ramai diminta sentiasa menjaga SOP, selain menghadkan pergerakan ke luar rumah jika tiada urusan penting dan mengelak daripada menghadiri majlis-majlis keramaian.

“Nasihat turut ditujukan kepada jabatan-jabatan kerajaan agar mengurangkan aktiviti melibatkan orang ramai,” katanya.

Sebarang maklumat terkini berkenaan perkembangan kes COVID-19 di negeri ini perlu dirujuk kepada saluran rasmi dan orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan berita palsu. -PAHANGMEDIA