Covid-19: Pahang ucap terima kasih kontak rapat serah diri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kerajaan Pahang mengucapkan terima kasih kepada kontak rapat pesakit positif Covid-19 yang datang menyerah diri untuk melakukan saringan Covid-19 di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, tindakan itu wajar dipuji kerana ia melambangkan sikap tanggungjawab dan keberanian mereka serta tidak melarikan diri.

Menurutnya, hal ini memudahkan pihak kesihatan mengesan dan mengenal pasti kontak lain.

“Kontak rapat ini bukan sahaja dikesan oleh pihak berkuasa dan kesihatan sebaliknya ada yang datang menyerah diri kepada pihak kesihatan untuk melakukan saringan Covid-19. Sikap berani dan bertanggungjawab ini menjadikan kadar kes Covid-19 di Pahang masih terkawal kerana kes yang disahkan positif berada dalam jangkaan pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, kebanyakan kes yang berlaku di negeri ini melibatkan pekerja warga asing yang tinggal di asrama tempat mereka bekerja.

Terdahulu Sallehuddin turut menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tunas Manja Group (TMG) kepada petugas barisan hadapan dan pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRS) Sukpa di Indera Mahkota pada Isnin.

Sumbangan berupa barangan makanan dan keperluan berjumlah RM15,000 itu akan diserahkan kepada pelbagai pihak yang bertugas di Sukpa termasuk pesakit, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – SINARHARIAN