Penduduk Kuantan dinasihat elak keluar rumah, hadir majlis keramaian

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Semua pihak di Kuantan diminta mengehadkan pergerakan keluar rumah kepada urusan penting sahaja dan mengelak daripada menghadiri majlis keramaian berdasarkan situasi semasa yang menyaksikan empat kluster COVID-19 masih aktif di sini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang menerusi kenyataan media di sini, hari ini, juga menasihatkan jabatan kerajaan untuk mengurangkan penganjuran aktiviti yang melibatkan orang ramai.

Kluster yang aktif itu adalah Kluster Atabara dan Kluster Inten di kawasan Indera Mahkota, Kluster Kuala di sekitar pusat bandar dan Kluster Kristal yang dilaporkan berlaku di sekitar Sungai Karang Darat.

“Semua pihak diminta menjaga diri dan keluarga supaya tidak menjadikan kluster terlibat berkembang. Sekiranya keadan bertahan atau tiada perebakan luar biasa, kerajaan tidak berhasrat mengetatkan lagi kawalan di Kuantan.

“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka serta tidak menyebarkan maklumat palsu, sebaliknya merujuk kepada saluran rasmi untuk maklumat tepat,” menurut kenyataan itu.

Merujuk kepada Kluster Kuala, jawatankuasa itu memaklumkan bahawa ia berpunca daripada pekerja restoran yang mempunyai beberapa cawangan di daerah ini dengan modus pengendalian operasi secara dapur berpusat sebelum makanan diedarkan ke cawangan.

Oleh itu, analisa menjangkakan Kluster Kuala berisiko tinggi untuk penularan dalam komuniti manakala baki tiga lagi kluster didapati masih merekodkan pengesanan kes positif, menunjukkan penularannya masih aktif.

Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan setakat ini telah mengenal pasti 763 orang kontak rapat melibatkan 258 rumah atau premis perniagaan yang berkaitan semua kluster terlibat dan menjangkakan bilangannya akan meningkat.

Berhubung Kluster Jalan Genting, jawatankuasa itu memaklumkan terdapat 132 pesakit COVID-19 terlibat ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Stadium Tertutup Sukan Pahang (Sukpa) di Indera Mahkota, selain 10 orang daripada Kluster Kuala.

“Sepanjang lima hari Sukpa diaktifkan sebagai PKRC, tiada insiden cubaan melarikan diri berlaku ekoran pelaksanaan kawalan keselamatan tertinggi dengan kawalan 24 jam oleh polis dan pasukan sahabat serta penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) dalam dewan.

“Tiada penularan dalam komuniti dilaporkan berpunca daripada Kluster Jalan Genting dan orang ramai dinasihatkan tidak bimbang dengan situasi keselamatan mereka,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA