Seorang lelaki yang menikam dan mencederakan seorang muazin di sebuah masjid di London pada bulan Februari telah dijatuhkan hukuman penjara lebih dari 11 tahun.
“Daniel Horton, 30, telah dijatuhkan hukuman hari ini, dengan hukuman penjara 11 tahun tiga bulan,” kata Polis Metropolitan, Anadolu Agency melaporkan.
Horton telah menikam leher muazzin yang bernama Raafat Maglad semasa solat di Masjid Pusat London, berdekatan Regents Park dan dia mengaku bersalah atas tindakannya yang mencederakan mangsa serta dengan niat membunuh seta memiliki senjata tajam di kawasan awam.”
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menyifatkan peristiwa itu sebagai peristiwa yang “mengerikan”.
“Sangat menyedihkan bahawa ini berlaku, terutama di tempat-tempat ibadat. Saya bersimpati dengan mangsa dan semua yang terjejas, ”tulisnya di Twitter.
” Serangan ini adalah serangan yang tidak diprovokasi, mengejutkan dan kejam yang berlaku di tempat ibadah di mana pusat ibadat sepatutnya aman dari semua perkara ini,” kata Detektif Polis Daniel Jones, pegawai penyiasat CID.
Tambahnya lagi, “Horton masih lagi berani untuk tersenyum ketika dia diperlihatkan gambar mangsa yang terluka, dan tidak menunjukkan penyesalan atas tindakan keji ini.
Oleh itu, saya gembira kerana Horton akan dipenjara dalam tempoh yang lama kerana tindakannya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para jemaah yang bertindak segera menangkap Horton dengan berani pada hari itu, kerana penjenayah tersebut berkemungkinan untuk melakukan sesuatu di laur jangkaan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mangsa atas keberanian dan kerjasamanya dalam siasatan, “kata Jones.