Menteri Agama : Jangan Mudah Hukum Seseorang Murtad

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menasihati umat Islam di negara ini agar tidak sewenang-wenangnya menghukum seseorang itu murtad hanya berdasarkan khabar angin.

Merujuk kepada isu perkahwinan seorang wanita Malaysia yang beragama Islam dengan kapten pasukan hoki India, Zulkifli berkata Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan seseorang yang berbangsa Melayu itu adalah beragama Islam.

“Oleh itu, tidak semudahnya bagi sesiapa untuk menghukum seseorang yang berbangsa Melayu itu murtad hanya berdasarkan khabar yang belum dipastikan kesahihannya, dan kerajaan yakin serta percaya, isu ini akan dapat ditangani dalam masa terdekat oleh pihak berkuasa agama negeri Johor.

“Ini seperti yang dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, lebih-lebih lagi isu ini juga mendapat perhatian langsung daripada Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara hari ini.

Perkahwinan Warganegara Malaysia dengan Pemain Hoki India

Isu hangat yang merujuk kepada perkahwinan seorang wanita warganegara Malaysia yang dilaporkan berkahwin dengan seorang pemain hoki India. Pasangan tersebut yang bercinta sejak lapan tahun lalu itu dikatakan mengadakan majlis resepsi di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab. Disebabkan video perkahwinan mereka tular yang mana upacara perkahwinan menyerupai perkahwinan agama sikh, orang ramai menuduh wanita itu murtad.

Namun pihak wanita tersebut menafikan bahawa dia telah keluar daripada Islam dan pihak kerajaan setakat ini masih tidak ada menerima permohonan daripada beliau untuk keluar daripada agama, menjadi murtad. Justeru, dapat disimpulkan bahawa wanita itu masih lagi beragama Islam.