Jerman bawa pulang 3 wanita, 12 kanak-kanak dari Syria yang disyaki menjadi anggota Daesh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Menteri Luar Jerman-Heiko Mass

Jerman membawa pulang tiga wanita dan 12 kanak-kanak yang tidak didedahkan identitinya dari kem pelarian di timur laut Syria Sabtu lalu, yang dikaitkan dengan kumpulan militan Daesh.

Menteri Luar Jerman, Heiko Maas, berkata beliau lega dengan kepulangan 12 kanak-kanak dan tiga ibu mereka, diatur dengan kerjasama Finland, yang turut membawa pulang enam kanak-kanak dan dua wanita.

“Ini adalah kes kemanusiaan, terutama membabitkan anak yatim dan kanak-kanak menghidap penyakit, yang mana pelepasan mereka sangat diperlukan.

“Ramai lagi wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa keadaan masih terperangkap di sana, namun hanya negara berkenaan boleh membawa mereka pulang.

“Kanak-kanak adalah yang paling malang kerana terperangkap tanpa kemudahan penjagaan kesihatan atau pendidikan, malah menghadapi masalah kekurangan makanan,” katanya.

Sementara itu, akhbar mingguan, Bild am Sonntag, melaporkan bahawa ketiga-tiga wanita yang meninggalkan Jerman sejak beberapa tahun lalu untuk menyertai kumpulan Daesh itu dikenali sebagai Merve A, Yasmin A dan Leonora M.

Semalam, Pejabat Pendakwa Persekutuan Jerman, berkata seorang warga Jerman bernama Leonora M ditangkap semasa tiba di lapangan terbang Frankfurt.

Dia dituduh menjadi anggota Daesh dan didakwa melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.

Ratusan warga Eropah dan ribuan dari serata dunia, kebanyakannya wanita, meninggalkan negara masing-masing sejak beberapa tahun lalu untuk menyertai militan Daesh bagi berperang di Syria serta Iraq.

Beberapa orang maut manakala yang lain ditangkap dan ditahan oleh pihak berkuasa Turki, Kurd atau Iraq yang ingin mengusir mereka kembali ke Eropah, namun enggan diterima kembali oleh negara asal.

Kem Al-Hol, yang menempatkan lebih 60,000 tahanan, kebanyakannya adalah anggota keluarga pejuang Daesh atau penyokong kumpulan itu yang tinggal di wilayah ditawan sehingga pertempuran terakhir pada Mac tahun lalu.