Makanan adalah keperluan fizikal yang diperlukan setiap manusia. Tanpa makanan, manusia akan menderita. Jika sehari sahaja manusia tidak makan, badan manusia sudah boleh mengigil. Namun, ketika makan, banyak perkara yang perlu dijaga terutama aspek halal.
Makanan yang halal ialah makanan yang mendapat keredaan ALLAH dan membawa kebaikan rohani dan jasmani. Aspek halal ini tidak terhad kepada cara makanan ini disembelih, bersih daripada najis bahkan ia juga turut meliputi cara mendapatkan rezeki yang mana adakah ia halal atau sebaliknya?
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188).
Firman Allah SWT bermaksud: “Hai para Rasul, makanlah daripada makanan yang baik dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan.” (Surah Al-Mu’minun, ayat 51).
Kedua-dua ayat ini jelas menuntut agar manusia mencari rezeki yang halal dan memakan makanan yang baik dan halal.
Setiap makanan dan rezeki yang dimasukkan ke dalam badan yang menjadi santapan kita pasti akan mempengaruhi sikap, perangai, air muka, hati, dan keseluruhan kehidupan. Ini bermakna makanan tidak bermakna akan memberi kesan terhadap tubuh badan sahaja. Makanan yang baik dan halal juga menjamin kesihatan tubuh badan di samping mendatangkan kecergasan pada akal fikiran.
Daripada Saidina Abdullah Mas’ud berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sifat malu kepada Allah yang sebenarnya adalah engkau menjaga kepalamu dan setiap yang ada di sekitarnya dan engkau menjaga perutmu serta apa yang ada di dalamnya.” (Hadis Riwayat At-Tarmizi)
Apa dimaksudkan dengan ‘menjaga kepala dan setiap apa yang ada di sekitarnya‘ adalah menjaga pendengaran, penglihatan dan lisan daripada perkara yang haram. (Jami’al-Ulum wa al-Hikam)
Nabi SAW bersabda: “Wahai Sa’ad, perbaikilah (murnikanlah) makananmu nescaya, kamu menjadi orang yang terkabul doanya. Demi yang jiwa Muhammad dalam genggaman-Nya. Sesungguhnya, seorang hamba melontarkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya; maka tidak akan diterima amal kebaikannya selama empat puluh hari. Sesiapapun yang dagingnya tumbuh dari yang haram; maka api neraka lebih layak membakarnya.” (Riwayat Ath Thabrani).
Boleh jadi kita terlepas pandang dan pernah memakan makanan yang haram tanpa pengetahuan kita. Sekiranya pernah berlaku, hendaklah kita memohon ampun kepada Allah atas kelekaan kita dengan menyesali dan memohin agar ibadah kita diterima.