Panduan Wanita Ketika Berfesyen

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Islam adalah agama yang indah dan meraikan keindahan. Fitrah seorang wanita adalah untuk bercantik-cantik dan bergaya tidak kira dari sudut kecantikan wajah mahupun dari sudut pakaian. Perkembangan fesyen pakaian hari ini turut mempengaruhi gaya fesyen bagi wanita Muslimah dan berhijab.

Dari sudut agama Islam, perempuan dibenarkan berfesyen namun perlu mengikut syarat yang dibenarkan Islam. Cabaran Muslimah hari ini adalah banyak gaya pemakaian dan pakaian yang menjadi sohor kini (trending) namun tidak menepati syariat yang ditentukan. Bagi menjadi Muslimah bertaqwa, fesyen hari ini perlu diikuti dengan bijak oleh para Muslimah.

Berikut adalah panduan untuk para wanita untuk berfesyen :

1.Memakai Pakaian Yang Longgar dan Tidak Mengikut Bentuk Tubuh

Islam sangat menggalakkan perempuan memakai pakaian yang longgar. Hal ini kerana, para wanita yang berpakaian ketat dan mengikut bentuk tubuh berpotensi menggiurkan para ajnabi yang memandangnya.

Dari satu sudut, pemakaian yang longgar sebenarnya memberi keselesaan kepada para wanita untuk bergerak aktif.

Usah bimbang, dengan pemilihan pakaian yang longgar dengan betul, kita tidak akan nampak selekeh dan gemuk.

2. Tidak memakai pakaian yang nipis dan jarang

Memakai baju yang nipis dan jarang berisiko untuk menampakkan kulit yang mana ini bertentangan dengan tujuan utama pemakaian wanita dari sudut syariat Islam.

Diriwayatkan oleh Muslim bahawa Nabi SAW bersabda:  

“Dua jenis manusia yang akan menjadi ahli neraka, yang mana aku tidak sempat melihat mereka, (kerana tidak ada pada zamanku. Mereka ini akan lahir pada akhir zaman). Yang pertama kata Nabi SAW ialah golongan yang memegang alat sebatan seperti ekor lembu yang digunakan untuk memukul manusia (melakukan kezaliman). Dan golongan kedua kata Nabi SAW adalah kalangan perempuan berpakaian tetapi bertelanjang, pakaian yang menggodakan, pakaian yang nipis, pakaian yang ketat; diatas kepala mereka dihias. Rambutnya laksana bonggol unta. Mereka tidak dapat masuk ke syurga, bahkan tidak dapat menghidu dan mencium keharumannya, walaupun baunya syurga itu dapat dihidu dari jauh.”

3. Bertudung menutupi dada

Meskipun telah bertudung, namun bertudung yang lebih sempurna adalah tudung yang menutupi dada. Fesyen tudung kini banyak yang singkat dan sekadar menutupi rambut, namun tidak di bahagian dada.

Gaya pemakaian tudung hari ini turut terkenal dengan pakaian tudung yang menampakkan sebahagian rambut atau anak rambut. Konsep bertudung sebegini sememangnya bertentangan dengan konsep menutup aurat yang dianjurkan oleh Islam.

Bagi mengatasi masalah ini, anak tudung perlulah dipakai secara penuh bagi mengelakkan anak rambut keluar. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 59 :

“Wahai nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar).” 

4.Tidak Tabarruj ketika Berfesyen

Tabarruj apabila seseorang perempuan memakai pakaian yang terlalu menonjol tidak kira dari sudut aksesori, warna, solekan mahupun penggayaan pakaian

Sebagaimana ayat ke 33 Surah al-Ahzab yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah dahulu..”

Menurut Ibnu Kathir mengulas ayat ini dengan pendapat bahawa tabarruj wanita bermakna wanita yang meletakkan penutup (kain selendang) di atas kepalanya dan tidak mengikatnya sehingga boleh dilihat leher dan segala perhiasannya, termasuklah rantai di lehernya.

Penerangan Dr Yusof Al-Qardawi pula iaitu sebahagian perempuan Jahiliyah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan yang suka berzina.

Islam Menggalakkan Wanita Untuk Beserdehana

Dalam mana-mana aspek termasuklah berpakaian, Islam menganjurkan berpakaian secara sederhana yang mana wanita boleh berfesyen, namun dengan menepati syariat.

Konsep wanita menutup aurat adalah untuk melindungi diri bukan untuk tujuan kemashyuran dan berbangga diri. Hikmah menutup aurat dan tidak bersifat tabarruj ini turut mendapat manfaat kepada wanita itu sendiri yang mana wanita tersebut rasa selesa, dan rasa terlindung kerana pakaiannya tidak menggoda.

RUJUKAN

  1. Sarimah binti Nordin, Fenomena Tabarruj Masa Kini Dalam Kalangan Wanita Muslimah, Proceedings of the International Conference on Education towards Global Peace, 30 November – 01 December 2016