Pesawat komersial Sriwijaya Air SJ182 yang dalam penerbangan dari Jakarta ke Pontianak, Indonesia dilaporkan hilang dari radar pada petang Sabtu.
Pesawat model Boeing 737 tersebut dilaporkan terputus hubungan pada jam 2.40 waktu tempatan ketika melintas ruang udara di daerah Kepulauan Seribu, Jakarta.
Maklumat awal menyatakan bahawa pesawat berkenaan membawa 56 penumpang yang terdiri daripada 46 orang dewasa, tujuh kanak-kanak dan tiga bayi.
Pesawat komersial Sriwijaya Air yang terputus hubungan selepas berlepas dari ibu kota Jakarta menuju ke Pontianak, disahkan terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Jakarta, hari ini.
Menteri Perhubungan Indonesia, Budi Karya Sumadi dalam siaran media menerusi webinar malam ini, berkata pesawat itu dipercayai terhempas di sekitar Pulau Laki dan Pulau Lancang, di kawasan perairan Kepulauan Seribu.
“Presiden (Presiden Indonesia Joko Widodo) memberikan arahan kepada kami untuk memaksimumkan upaya pencarian,” kata Budi Karya.
Beliau berkata, pelbagai agensi mencari dan menyelamat seperti Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) dan Tentera Indonesia, sedang melakukan pencarian di perairan itu.
Pelbagai objek dan cebisan mayat itu ditemukan di perairan Kepulauan Seribu pada kedalaman 23 meter di dasar laut.
Pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya Air itu terputus hubungan selepas berlepas pada 2.36 petang waktu Indonesia barat dari Jakarta menuju Pontianak, sebelum terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Jakarta semalam.
Penerbangan Sriwijaya SJ-182 itu membawa 62 penumpang termasuk 12 anak kapal.