Adakah dibolehkan mandi dalam keadaan telanjang?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MANDI merupakan salah satu daripada cara untuk membersihkan diri. Ini kerana Islam merupakan satu agama yang amat menitikberat akan kebersihan dan Allah mencintai hamba-hambaNya yang sentiasa menjaga kebersihan.

Sabda Baginda Rasulullah: Bersuci adalah sebahagian daripada iman. [HR Muslim 222]

Apabila seseorang muslim itu mandi, dia dapat membersihkan kotoran yang melekat pada badan atau peluh yang keluar daripada tubuh. Tubuh badan yang bersih ini boleh menghindarkannya daripada kuman-kuman yang menyebabkan penyakit.

Bau tubuh badannya pula menimbulkan kemesraan dan kasih sayang sesama manusia. Kerana itu, Islam meminta sekurang-kurangnya seseorang itu perlu mandi pada hari Jumaat berdasarkan hadis Baginda Rasulullah: Orang ramai yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai pembantu, badan mereka berbau busuk, lalu dikatakan kepada mereka, elok kamu mandi pada hari Jumaat. Dalam riwayat yang lain bagi Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah bersabda: Eloklah kamu bersuci pada hari ini (Jumaat). [HR Bukhari 861 dan Muslim 847]

Timbul satu persoalan yang sangat penting apabila seseorang itu mandi adakah dibolehkan mandi dalam keadaan telanjang?.

Bagi menjawab isu ini, maka para alim ulama’ menyandarkan hukum mandi dalam keadaan telanjang adalah dibolehkan berdasarkan hadis Baginda Rasulullah:

Sewaktu Nabi Ayyub AS mandi dalam keadaan bogel/telanjang, tiba-tiba jatuhlah di depannya seekor belalang emas. Ayyub pun segera hendak mengambil kainnya, maka baginda pun dipanggil oleh Tuhannya, “Wahai Ayyub, bukankah engkau telah cukup kaya hingga tidak memerlukan lagi barang (belalang emas) yang kau lihat itu?” Ujur Ayyub, “Benar wahai Tuhanku, tetapi aku tidak boleh mengabaikan keberkatanMu. [HR Bukhari 279]

Berdasarkan hadis ini kata para alim ulama’ apabila Baginda Rasulullah menceritakan kisah Nabi Ayyub ini, Baginda tidak memberi sebarang komen dari sudut mandi telanjang.

Di sana para alim ulama’ dalam Mazhab Syafie mengatakan hukum mandi dalam keadaan telanjang dalam keadaan seorang diri adalah makruh. Ini kerana seorang muslim itu hendaklah menjaga maruahnya dan perlu ada perasaan malu dalam diri.

Sabda Baginda Rasulullah: Malu itu sebahagian daripada Iman. [HR Bukhari 24]

Kata Imam Ibn Hajar: Hukum bagi sesiapa yang mandi tanpa sebenang urat (telanjang) sekiranya dia berada di tempat yang tersembunyi dan tidak dilihat oleh sesiapapun yang diharamkan ke atasnya melihat aurat orang tersebut, maka halal baginya untuk melakukannya. Tetapi yang afdhal adalah menutup auratnya kerana segan atau malu dengan Allah Subhanahu Wataala. Jika dia mandi dan dapat dilihat oleh seseorang maka haram orang tersebut melihat auratnya dan wajib ke atasnya menutup auratnya daripada orang tersebut secara ijmak sebagaimana diriwayatkan. (Mirqaat al-Mafatih Syarah li Misykaat al-Masabiih 368/2)

Ustaz teringat bagaimana pesan orang dahulu supaya apabila mandi perlu memakai kain basahan. Ini disebabkan jika kita lihat keadaan rumah orang dahulu yang diperbuat daripada kayu yang membolehkan orang lain mengintai seseorang yang tengah mandi. Maka disebabkan itulah perlu memakai kain basahan apabila mandi supaya terlindung tubuh badan daripada dilihat orang lain.

Di sana juga ada adab apabila seseorang yang ingin menanggalkan pakaian disunatkan mengucapkan Dengan Nama Allah, tiada yang berhak disembah melainkannya, kerana ia mampu menutup seseorang daripada terkena panahan mata-mata jin.

Walaupun kita rasa selamat daripada pandangan manusia tetapi jangan kita lupa di sana ada mata-mata lain dari alam ghaib yang memerhatikan kita apabila kita dalam keadaan telanjang. Oleh kerana itu kita perlulah berdoa supaya aurat kita tidak tersingkap di hadapan manusia dan jin.

Sumber: mStar