Jangan anggap Alzheimer penyakit orang tua, kenali 5 gejalanya.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ALZHEIMER adalah sejenis penyakit menggambarkan keadaan seseorang yang sukar mengingat sesuatu perkara dengan baik.

Biarpun ia sering kali dikatakan penyakit ‘nyanyuk’ yang kebiasaannya dialami orang tua tetapi sebenarnya pandangan itu salah kerana ia adalah sejenis penyakit penuaan sel otak dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia.

Alzheimer juga dikenali sebagai demensia yang bermaksud masalah daya ingatan yang menyebabkan sel otak mati.

Beberapa kajian juga menunjukkan penyakit itu adalah disebabkan kombinasi faktor seperti genetik, gaya hidup tidak sihat, peningkatan usia dan sebagainya.

Bagi mengenali gejala penyakit ini, terdapat lima tanda yang ramai tidak sedar, termasuklah;

1. Sering lupa

Secara umumnya, penyakit Alzheimer dikaitkan dengan pelupa kerana pesakit biasanya hilang fungsi memori dan keterampilan mental sehinggakan mengganggu kehidupan seharian.

Mereka yang menghidap penyakit ini akan mengalami kesukaran mengingati tarikh atau acara penting. Ia bukan sahaja berlaku kepada orang tua, tetapi golongan muda.

Bagi yang sudah lanjut usia, kebiasaannya penderita Alzheimer akan mengulang pertanyaan yang sudah dijawab dan perlu dingatkan berulang kali tentang sesuatu perkara.

2. Sukar memahami gambaran visual

Antara gejala lain adalah penderitanya mengalami masalah penglihatan. Ini menyebabkan seseorang itu berdepan kesukaran untuk membaca serta sukar mengenali warna tertentu.

Gejala ini boleh jadi membimbangkan kerana ia boleh membahayakan pesakit dan membuatkan mereka mudah keliru.

3. Lingkungan sosial

Kebiasaannya, mereka yang suka menjauhkan diri daripada orang ramai dianggap sebagai salah satu personaliti diri mereka.

Bagaimanapun kajian juga mendapati, simptom awal pesakit Alzheimer juga merujuk kepada mereka yang menjauhkan diri daripada kelompok ramai.

Mereka sukar berinteraksi serta tidak selesa jika berada dalam sesuatu majlis melibatkan orang ramai.

4. Tidak lancar bertutur dan menulis

Bukan penyakit disleksia sahaja mempunyai gejala tidak boleh membaca dan menulis, malah Alzheimer juga menunjukkan bentuk serupa.

Ketika sedang berkomunikasi, mereka ini sering kali sukar untuk menghabiskan ayat bagi menyampaikan sesuatu. Mereka juga mudah lupa tentang apa yang ingin disampaikan kepada orang lain.

Bagi yang tidak memahami tentang penyakit itu, golongan ini akan dianggap nyanyuk atau mengalami masalah gagap.

5. Gangguan perasaan

Antara gangguan perasaan yang sering dialami penderita Alzheimer adalah mudah berasa keliru, curiga, kemurungan, ketakutan serta cemas.

Oleh itu, sekiranya ada di antara kita yang berdepan dengan simptom-simptom ini, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sumber: mStar