Anak Terengganu Dilantik Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Baharu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA – Anak kelahiran Terengganu, Azman Adam dilantik sebagai Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang baharu berkuatkuasa 5 Januari lalu.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Dato’ Iskandar Halim Sulaiman yang bersara wajib pada 16 Disember tahun lalu.

Dilahirkan pada 16 Januari 1971, Azman mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Tanjung Lela Segara, Marang sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Pengurusan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Menteri KPDNHEP Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelantikan itu berdasarkan pengalaman beliau yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak 28 tahun lalu bermula sebagai Penolong Pegawai Penguatkuasa Gred N27 sehingga 2000.

Katanya, Azman juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Sarawak bermula 2000 sehingga 2002 dan seterusnya berkhidmat di Pejabat KPDNHEP Terengganu pada 2004 di atas kenaikan pangkat.

“Beliau juga berpengalaman luas dan mempunyai daya kepimpinan di dalam bidang penguatkuasaan berdasarkan jawatan dan tanggungjawab yang dipikul di beberapa negeri seperti Ketua Pegawai Penguatkuasa Selangor sebelum berkhidmat di Ibu Pejabat Putrajaya sebagai Timbalan Pengarah Pencegahan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Hari ini, Alexander juga diberi penghormatan untuk menyempurnakan sesi pemakaian pangkat Pengarah Penguatkuasa, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP kepada Azman yang diadakan secara tertutup di kementeriannya membabitkan pengurusan tertinggi KPDNHEP dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Pelbagai pengiktirafan pernah dianugerahkan kepada Azman, antaranya anugerah Sijil Penghargaan ( TSSC) oleh Sultan Selangor, Sijil Penghargaan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Sijil Penghargaan Ketua Setiausaha KPDNHEP.

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pegawai Contoh KPDNHEP Terengganu dan sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau pernah menerima anugerah High Performance Award, Maybank Finance Berhad pada 1992 sebelum menerima lima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPDNHEP pada tahun 1998, 2005, 2007, 2009 dan 2011.

Alexander berkata, beliau dan warga KPDNHEP memberi sokongan dan kepercayaan sepenuhnya kepada Azman untuk menggalas amanah dan tanggungjawab itu.

Katanya, beliau yakin Azman akan terus mendokong misi dan visi Kementerian dalam keadaan penuh siap siaga menyelia pematuhan perundangan kementerian dalam kalangan peniaga bagi melindungi kepentingan pengguna.

Sumber: TRDI News