KUALA LUMPUR: Badminton memiliki reputasi cemerlang dalam sejarah penyertaan kontinjen negara di Sukan Olimpik.
Sukan itu mencipta sejarah apabila muncul yang pertama menyumbang pingat buat Malaysia menerusi gandingan adik beradik, Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif Sidek yang memenangi gangsa pada edisi 1992 di Barcelona.
Empat tahun kemudian di Atlanta, skuad badminton sekali lagi cemerlang apabila menyumbang dua pingat masing-masing menerusi beregu lelaki, Datuk Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock yang meraih perak manakala Datuk Rashid Sidek membawa pulang gangsa dalam acara perseorangan lelaki.
Bagaimanapun, skuad badminton negara pulang dengan tangan kosong pada edisi 2000 di Sydney dan 2004 di Athens tetapi sejak itu pemain badminton negara tidak pernah mengecewakan apabila berjaya menjadi penyumbang pingat tetap buat kontinjen Malaysia.
Pada edisi 2008 di Beijing, bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei berjaya meraih perak diikuti edisi 2012 di London.
Skuad badminton negara melakar pencapaian terbaik di Olimpik apabila membawa pulang tiga pingat perak pada edisi 2016 di Rio de Janeiro menerusi Chong Wei, beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.
– BERITA HARIAN