Abbad Gadai Nyawa Demi Al-Quran

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Abbad bin Bisyr al-Asyhali merupakan seorang pahlawan Islam. Beliau seorang yang kuat dan amanah dalam menjaga urusan, serta tadbir urus harta orang Muslim. Beliau sangat dekat dengan al-Quran sehinggakan setiap waktu digunakan untuk membaca al-Quran dan berjuang ke jalan Allah SWT.

Menerusi perkongsian Ustaz Mohd Hazri Hasyim al-Bindany di IKIMfm menceritakan mengenai keperibadian Abbad bin Bisyr al-Asyhali.

Daripada Umar al-Khattab, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran.” (Riwayat Muslim)

Perkongsian oleh Ustaz Mohd Hazri Hasyim al-Bindany mengenai seorang sahabat yang hidupnya banyak diisi dengan membaca al-Quran.

Saidatina ‘Aisyah pernah berkata, tiada seorang pun yang dapat menandingi tiga tokoh daripada orang Ansar iaitu Saad bin Muaz, Usaid bin al-Hudair dan Saidina Abbad bin Bisyr.

Abbad masih muda ketika Islam sampai ke Madinah melalui pendakwah pertama diutuskan Rasulullah SAW, Saidina Mus’ab bin Umair. Jiwa mudanya meronta-ronta ingin mengetahui mengenai agama dibawa Rasulullah.

Pada satu hari, beliau berkumpul pada satu majlis Saidina Mus’ab dan bersedia untuk mendengar dan mengambil tahu apa yang akan dibicarakan. Sebaik sahaja beliau mendengar bacaan ayat al-Quran yang dibaca oleh Mus’ab, hatinya begitu tersentuh, lantas bertautlah kasih sayang keimanan antara Abbad dan Mus’ab.

Hubungan mereka menjadi rapat kerana nikmat iman dan Islam yang dikecapi oleh Abbad. Beliau bukan sekadar tertarik dengan al-Quran, bahkan dikatakan begitu asyik dengan al-Quran.

Sentiasa Bersama al-Quran

Hati Abbad sentiasa berpegang erat dengan al-Quran tanpa mengira waktu baik siang mahupun malam. Sahabat mendapati dan menemui beliau dalam dua keadaan, sama ada membaca al-Quran mahupun berperang di jalan Allah SWT.

Beliau juga dikenali sebagai imam kerana sering dilantik mengimamkan solat. Pada satu malam, saat Rasulullah SAW sedang bertahajud, suara Abbad sewaktu membaca al-Quran didengari Rasulullah.

Rasulullah SAW mendapatkan kepastian daripada Saidatina ‘Aisyah, maka ‘Aisyah menjawab: “Benar ya Rasulullah. Lantas Rasulullah SAW mendoakan Abbad dengan doa: Ya Allah, ampunkanlah dosanya.”

Beruntungnya Abbad yang didoakan oleh Rasulullah SAW. Beliau juga menyertai hampir semua peperangan umat Islam, sangat setia dan kuat mujahadahnya ketika berperang.

Walau di mana jua beliau berada, al-Quran tidak pernah lekang daripada kehidupannya. Setiap waktu yang ada, pasti akan dilengkapkan dengan membaca al-Quran.

Pernah berlaku, saat Rasulullah SAW pulang dari peperangan Zat al-Riqaaq, baginda singgah pada satu lembah untuk berehat. Baginda bertanya kepada sahabat, siapakah yang akan berjaga demi mengawal keselamatan.

Lantas Abbad dan saudaranya Ammar bangun menyatakan kesanggupan untuk berjaga. Ammar dan Abbad adalah dua orang yang dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW selepas peristiwa hijrah baginda.

Ammar memilih untuk tidur dahulu, maka Abbad mengambil tugas untuk berkawal. Kesempatan malam yang sunyi dan tenang digunakan Abbad untuk beribadah dan ketika itu seorang daripada angkatan musuh mendekati pasukan Rasulullah SAW.

Musuh itu melepaskan anak panah ke arah Abbad yang sedang solat tetapi dicabut Abbad yang sedang membaca surah al-Kahfi. Begitulah yang berlaku sehingga anak panah ketiga dan darah terus mengalir, Abbad mengejutkan Ammar.

Ketika itu, musuh tadi bergegas lari meninggalkan mereka. Apabila Ammar bertanya kenapa tidak dikejutkan beliau ketika anak panah pertama mengenainya, Abbad menjawab: “Aku sanggup sampai nyawaku tercabut dari tubuhku daripada aku memberhentikan bacaan al-Quran.”

Jika bukan kerana bimbang keselamatan Rasulullah SAW dan angkatan yang lain, pasti Abbad tidak akan memberhentikan solat dan bacaan al-Quran. Begitulah jiwa mereka yang Allah SWT muliakan dengan al-Quran.

Dapat kita hayati dan muhasabah diri adakah kita menjadikan al-Quran sahabat yang akrab. Semoga kita dapat menjadikan sahabat Rasulullah SAW sebagai contoh dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sumber: BERITA HARIAN