Abu Lubabah Abdul Munzir, Penjaga Kota Madinah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Seringkali jika berkunjung ke Madinah Al-Munawarah, maka mereka yang menjejakkan kaki ke dalam Masjid Nabawi akan mencari di mana tiang taubat atau lebih dikenali dengan nama Tiang Abu Lubabah. Perkongsian kali ini mengenai kisah tokoh yang sememangnya masyhur iaitu Abu Lubabah Abdul Munzir. 

Abu Lubabah merupakan salah seorang muslim pilihan yang telah membela dan menegakkan agama Islam. Beliau adalah salah seorang pahlawan Muslimin dalam peperangan. Beliau telah mempersembahkan diri dan nyawanya di jalan Allah untuk menegakkan kebenaran dan meninggikan agama-Nya. Beliau dilahirkan di Yathrib yang subur dengan pepohonan dan tumbuh-tumbuhan yang dapat dinikmati oleh manusia. 

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Hasyr ayat 9 yang bermaksud, “Dan orang-orang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (kaum Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (kaum Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka.

“Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (kaum muhajirin); dan mereka mengutamakan (kaum muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung”.

Isteri beliau iaitu Khansa’ binti Khanddam al-Ansariyah dari golongan Al-Aus. Pada awalnya, ayah Khansa ingin mengkahwinkannya dengan seorang dari bani Auf, namun anaknya itu  telah mencintai Abu Lubabah. 

Akhirnya, dia pergi menghadap Rasulullah SAW dan melaporkan hasrat hatinya itu. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan ayah Khansa supaya memberikan kebebasan kepada anaknya itu dalam memilih calon suaminya sendiri. Akhirnya, dia pun dinikahkan dengan Abu Lubabah bin Abdul Mundzir r.a.

Abu Lubabah termasuk orang pertama yang memeluk Islam, ketika beberapa orang Ansar berjumpa dengan Mus’ab bin Umair di Yathrib.

Abu Lubabah merupakan salah seorang Ansar yang hadir pada Baiah al-Aqabah kedua. Adapun orang pertama yang berbicara di majlis itu ialah Abbas bin Abdul Muthalib, padahal pada waktu itu, dia masih lagi menganut agama kaumnya (musyrik).

Dia melakukannya kerana ingin meyakinkan bahawa anak saudaranya, iaitu Rasulullah SAW dalam baiah itu tidak akan disia-siakan oleh orang Ansar yang datang dari jauh untuk berbaiah dan berjanji untuk mempertahankannya.

Al-Abbas berkata, “Wahai kaum Khazraj, ketahuilah bahawa Muhammad SAW adalah dari golongan kami dan kami telah mempertahankannya dari kejahatan kaum kami yang masih sealiran dengan kami dan ternyata dia masih tetap dimuliakan tengah-tengah kaumnya dan Nabi Muhammad itu masih lagi terbela dari tanah airnya. 

“Akan tetapi, dia tetap saja mahu pergi bersama kalian ke negeri kalian. Kalau kalian benar-benar mahu menepati janji akan melindunginya dari orang-orang yang tidak sealiran dengan dia, maka kami akan mempercayakannya kepada janjimu itu. 

“Akan tetapi, jika kalian akan menyerahkannya dan tidak akan mempertahankannya dari orang-orang yang tidak sealiran dengannya, setelah dia keluar dan pergi kepada kalian, maka dari sekarang, sebaiknyalah kalian membiarkannya dalam kemuliaan dan perlindungan daripada kami sendiri di negerinya sendiri.”

Maka pada waktu itu, Abu Lubabah sendiri menyaksikan Perjanjian Aqabah itu berlaku di hadapan matanya sendiri.

Mereka pun berkata, “Kami telah mendengar apa yang anda katakan. Sekarang katakanlah, wahai Rasulullah SAW untuk dirimu dan Tuhanmu!”

Rasulullah SAW pun menjawab,”Aku akan membaiah kalian bahawa kalian melindungi aku seperti kalian telah melindungi isteri-isteri dan anak-anakmu.”

Al-Barra’ bin Ma’rur menjabat tangan beliau dan berkata, “Atas nama yang mengutusmu dengan kebenaran, Kami berjanji akan melindungimu seperti melindungi isteri-isteri dan anak-anak kami.”

Maka kata-kata itu disahut oleh seluruh orang-orang Ansar yang hadir pada malam tersebut. Maka berlakulah baiah Aqabah. Mereka berbaiah kepada Rasulullah SAW.

Kemudian, sewaktu Al-Barra’ berbicara dengan Rasulullah SAW, tiba-tiba Abu Haitham bin an-Nahyan memotong perbincangannya. 

Abu Haitham berkata, “Wahai Rasulullah, antara kami dan kaum kami sudah terjalin ikatan (bersama orang Yahudi) dan kemungkinan kami memutuskannya. Jika kami memutuskannya, kemudian Allah berkenan memenangkanmu, apakah tidak mungkin engkau kembali kepada kaummu dan meniggalkan kami?”

Jelas sekali Abu Haitham ingin memastikan keputusan Rasulullah SAW. Adakah baginda akan berhijrah sementara kepada penduduk Madinah, atau baginda kekal tinggal bersama dengan mereka.

Rasulullah SAW tersenyum, lalu berkata, “Darah dibayar dengan darah dan penghancuran dibayar dengan penghancuran. Aku adalah sebahagian daripada kalian dan kalian juga adalah sebahagian daripadaku. Aku akan memerangi siapa sahaja yang memerangi kalian dan aku akan berdamai dengan siapa sahaja yang berdamai dengan kalian.”

Abu Lubabah kemudian kembali ke Madinah setelah pertemuan bersejarah dengan Rasulullah SAW.

Tidak lama setelah itu, Rasulullah berhijrah ke Kota Madinah, tinggal di tengah-tengah mereka. Alangkah gembiranya Abu Lubabah saat menyambut kedatangan baginda SAW. Kota Madinah tersusun rapi dengan syariat dan undang-undang yang dibawa oleh malaikat Jibril daripada Tuhannya.

Tidak lama selepas itu, tercetusnya Perang Badar. Meskipun begitu, Rasulullah SAW tidak mengizinkan Abu Lubabah pergi bersamanya. Namun, Abu Lubabah telah diamanahkan untuk mewakili baginda di Madinah.

Abu Lubabah mematuhi perintah dan arahan Rasulullah SAW dengan baik. Beliau memimpin kota Madinah dengan baik. Beliau juga mempersiapkan bekal untuk pasukan yang sedang berperang, dan menggalakkan pembuatan senjata perang siang dan malam, sehingga pasukan kaum Muslimin memiliki persenjataan dan perbekalan yang lengkap.

Begitulah kisah seorang tokoh yang dipercayai dan diberikan amanah untuk menjaga bumi bertuah Madinah yang menjadi wahyu kepada baginda Nabi Muhammad SAW.

Sumber: IKIM FM