MELAKUKAN diet bukan perkara yang mudah kerana terdapat pelbagai pantang larang perlu dipatuhi agar prose menurunkan berat badan lebih cepat.
Bagaimanapun terdapat beberapa perkara mengarut dan mitos tentang diet yang ramai masih percaya sehinggakan usaha mereka menjadi sia-sia.
Lebih parah, bukan sahaja berat badan tidak turun, tetapi menderita pula pelbagai masalah kesihatan akibat pola pemakanan yang tidak sihat.
Berikut adalah beberapa mitos mengenai diet yang tidak perlu lagi anda percaya!
1. Tidak bersarapan elemen penting dalam diet
Tidak bersarapan adalah salah satu mitos mengarut yang pernah disebarkan mengenai diet. Ramai beranggapan, tidak bersarapan adalah perkara baik kerana tiada pengambilan sebarang kalori.
Kajian yang diterbitkan The American Journal of Clinical Nutrition mendapati melambatkan sarapan meningkatkan risiko kadar insulin dan kolesterol lebih tinggi.
Tidak mengambil sarapan membuatkan nafsu makan seseorang lebih membuak-buak sepanjang hari dan ia sekaligus boleh menjadi penyebab kepada peningkatan berat badan secara mendadak.
2. Angka tumpuan utama
Umumnya, pelbagai program diet hanya memfokuskan kepada angka yang berjaya diturunkan. Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Obesity menyatakan tumpuan kepada angka membuatkan diet seseorang tidak berkesan sebaliknya menambah tekanan dan menyukarkan lagi usaha itu.
Tujuan utama diet sebenarnya adalah untuk memfokus kepada kesihatan jangka panjang dan bukannya penurunan berat badan dalam tempoh masa singkat.
3. Kudapan dosa yang tidak dapat dimaafkan!
Ramai percaya kudapan adalah sebuah dosa yang tidak dapat dimaafkan ketika sedang berdiet. Padahal, ia membantu menguruskan pengambilan kalori lebih berkesan.
Makan sepotong buah atau yogurt rendah lemak mampu mengurangkan rasa keinginan untuk makan, serta mencegah makan berlebihan.
Sumber: mStar