Sejak gelombang pandemik melanda dunia, banyak perubahan perubahan yang perlu kita lakukan seperti memakai topeng muka, menjaga jarak, berkerja dari rumah dan sebagainya. Tidak dapat tidak, setiap individu perlu beradaptasi dengan norma-norma baharu ini bagi menjaga kemaslahatan diri. Dunia Pendidikan juga tidak terlepas dari terkena bahangnya. Alaf baru pasca pandemik menuntut semua beradaptasi dengan segera. Pendidikan secara dalam talian menjadi elemen penting bagi meneruskan pembelajaran. Aplikasi seperti Google Meet, Zoom dan Webex adalah antara pilihan aplikasi bagi meneruskan pembelajaran.
Bagi para pelajar, mereka perlu mengikuti kelas yang dianjurkan oleh pihak sekolah atau universiti bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran. Bagi individu pekerja pula, mesyuarat atau diskusi perlu dilaksanakan secara dalam talian bagi meneruskan urusan pekerjaan. Tidak terlepas juga agensi seperti badan bukan kerajaan (NGO) yang sering mengadakan program atau webinar secara dalam talian.
Meskipun mengikuti pembelajaran, mesyuarat atau diskusi dalam talian, kita masih tetap perlu menjaga adab-adab menuntut ilmu sebagaimana kita perlu menjaga adab menuntut ilmu atau berdiskusi secara berhadapan. Antaranya adab yang perlu dijaga ialah :
1. Membuat persediaan sebelum kelas dimulakan
Sebelum kelas dimulakan, para penuntut ilmu sangat digalakkan untuk membaca dan membuat pembacaan mengenai topik pelajaran yang akan dibincangkan. Jika ada Latihan yang diberikan, pastikan anda menyiapkan terlebih dahulu. Selain itu, bukan persediaan ilmu sahaja yang perlu ditekankan, namun persediaan teknikal seperti berpakaian kemas dan menutup aurat, memastikan ruang pembelajaran tersusun, menyediakan alatan atau bahan-bahan yang diperlukan sebelum memulakan sesi pembelajaran dalam talian. Dengan persediaan rapi, kita akan lebih bersedia untuk menuntut ilmu.
2. Menggunakan nama penuh
Apabila anda menyertai kelas dalam talian, pastikan nama yang digunakan adalah nama penuh. Dengan meletakkan nama penuh, ia akan memudahkan guru atau penceramah untuk mudah mengenalpasti pelajar dan berinteraksi dua hala dengan pelajar. Meskipun perkara ini terlihat kecil, namun dengan memudahkan urusan guru ia merupakan satu tindakan yang besar.
3. Hadir kelas tepat pada awal waktunya
Meskipun sekadar dalam talian, tetapi kita masih tetap perlu menjaga hadir awal pada waktunya. Paling utama, elakkan guru atau rakan-rakan menunggu kita sehingga melambatkan sesi pembelajaran. Adalah lebih baik jika kita bersedia lebih awal dan menunjukkan komitmen kehadiran kita. Secara tidak langsung tindakan ini akan memberi semangat kepada guru atau penceramah yang mengajar kerana melihat kesungguhan pelajar yang tidak sabar menuntut ilmu.
Jika kelas dilakukan secara berkala, pastikan kita cuba memenuhi jadual kehadiran kelas dalam talian tersebut. Jika tidak dapat hadir, beritahu kepada guru awal-awal, nyatakan sebab yang munasabah dan minta maaf kerana guru kerana tidak dapat memberi komitmen kehadiran. Jangan lupa minta bantuan rakan untuk merakam sesi pembelajaran tersebut jika anda tidak hadir bagi memastikan anda tidak ketinggalan dalam pembelajaran.
4.Membuka peranti kamera semasa tempoh pembelajaran
Semasa kelas dalam talian dijalankan, adalah lebih baik para pelajar membuka peranti kamera agar guru yang mengajar dapat melihat pelajar. Hal ini kerana mengajar di dalam kelas adalah sangat berbeza dengan mengajar di hadapan skrin. Suasana pembelajaran tidak terasa nyaman jika guru tidak dapat melihat audiens kerana tidak dapat melihat reaksi dan muka pelajar dengn baik. Boleh jadi, guru terasa bercakap seorang diri di dalam kelas tanpa mengetahui adakah pelajarnya menonton dan memahami apa yang cuba disampaikan.
Dari satu sudut, dengan membuka peranti kamera juga, secara tidak langsung para pelajar akan cuba untuk fokus dan memberi perhatian kerana merasakan tindak tanduk mereka diperhatikan.
5. Memberi Respon dan berinteraksi dengan baik
Semasa kelas dijalankan, para pelajar perlu memastikan agar seratus peratus perhatian diberikan kepada guru yang mengajar. Hal ini kerana adab di dalam agama Islam adalah untuk menghormati guru yang memberikan ilmu.
Jika guru bertanyakan soalan, segeralah memberi respon dan menjawab soalan yang dimukakan. Selain itu, elakkan daripada makan, minum, tidur, tidak menjaga kedudukan dengan baik, bermain-main dengan telefon semasa guru mengajar kerana ia menunjukkan perbuatan yang tidak beradab.
6.Tutup peranti suara Ketika guru mengajar
Ketika guru mengajar pastikan anda jangan lupa untuk menutup peranti suara. Jika peranti suara terpasang, mungkin akan ada bunyi bunyi tambahan yang muncul dan yang membimbangkan adalah bunyi itu akan menganggu rakan-rakan dan guru yang lain. Gangguan kecil sebegini boleh menganggu guru atau pelajar lain menuntut ilmu.
7. Mengucapkan terima kasih apabila tamat kelas
Jangan lupa mengucapkan terima kasih kepada guru setelah tamat kelas. Dengan sepotong ucapan terima kasih, ia simbolik bahawa para pelajar menghargai penat lelah guru yang mengajar di dalam kelas. Para pelajar mungkin terasa kelas dalam talian sangat memenatkan. Namun para guru sebenarnya lebih penat kerana perlu bertungkus lumus dan bersusah payah untuk menyediakan bahan, membuat persediaan dan mengajar. Justeru dengan ucapan pendek ini, pasti kepenatan guru dapat terubat sedikit.
Kesimpulannya, menjaga adab belajar secara dalam talian sama sahaja dengan menjaga adab ketika belajar secara berhadapan. Pada asasnya faktor utama kita perlu menjaga adab ketika belajar adalah kerana menghormati ilmu yang ingin dituntut. Dengan menjaga adab juga, kita sebenarnya sedang menjaga keberkatan hubungan kita dengan guru. InshaAllah, semoga dengan berkat menjaga adab menuntut ilmu ini, kita diberikan kefahaman yang baik.