Adakah Amalan Akan Dibentangkan Kepada Kaum Keluarga Yang Telah Meninggal?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Sepertimana kita tahu kehidupan selepas kematian adalah perkara rahsia. Hanya sedikit yang kita tahu berdasarkan penceritaan ini adalah melalui hadis dan Al-Quran. Namun, sebagai seorang Muslim, kita tetap beriman bahawa ia wujud dan akan dilalui pada suatu hari nanti.

Salah satu perkhabaran benar yang kita terima melalui hadis adalah roh orang-orang mati akan saling bertemu dan bertanya khabar dengan roh yang baru meninggal dunia. Sebagaimana diceritakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Apabila seorang Mukmin nazak, datang kepadanya malaikat Rahmat dengan membawa sutera putih. Para Malaikat berkata: Keluarlah wahai roh dalam keadaan redha lagi diredhai kepada Allah, penuh rahmat serta tidak dimurkai Tuhan. Maka roh tersebut keluar seperti bau misk (wangian) yang terbaik sehingga bau tersebut sampai ke pintu langit.”

Para malaikat (di langit) berkata: “wanginya bau yang kamu bawa dari dunia! Mereka membawa roh tersebut menemui roh-roh orang yang beriman. (Pada ketika itu) mereka (roh orang mukmin) terlalu gembira dengan kedatangan roh tadi. Mereka bertanya kepadanya apa yang dilakukan oleh fulan ini, apa yang dilakukan oleh fulan ini?”

Para Malaikat berkata: “Tinggalkan dia. Sesungguhnya dia pernah berada di dalam kesedihan dunia. 

Lalu roh itu berkata: “Apa yang menyebabkan kamu ke sini?”  Mereka menjawab: “Dia telah dibawa dari ibunya. Ketika mana orang kafir nazak, datang kepadanya malaikat azab dengan membawa guni. Lalu para Malaikat berkata: Keluarkan wahai roh dalam keadaan murka lagi dimurkai serta (rasalah) azab Allah. Maka roh itu keluar seperti bau nanah (yang keluar dari bangkai mereput) sehingga bau tersebut sampai ke pintu dunia maka para malaikat berkata: Busuknya bau nanah ini sehingga mereka membawa roh-roh orang kafir.” (Riwayat al-Nasaie, No.1972 di dalam Sunan al-Kubra & Ibn Hibban, No.3078 dalam Sohihnya)

Berdasarkan dalil hadis ini kita mengetahui bahawa memang benar adanya pertemuan dalam kalangan roh-roh yang meninggal dunia kelak. Mereka yang lebih dahulu meninggal dunia akan bertanya khabar tentang teman dan rakan yang masih tinggal di dunia.

Ada juga perkhabaran yang tersebar bahawa amalan-amalan orang yang masih hidup di dunia akan dibentangkan kepada kaum kerabat dan ahli keluarga.

“Sesungguhnya amalan-amalan kamu akan dibentangkan ke atas kaum kerabat kamu dan ahli keluarga kamu yang telah mati. Jika baik (amalannya) maka mereka (yang telah mati) akan memberinya khabar gembira. Adapun jika sebaliknya, mereka berkata: “ Ya Allah, ilhamkanlah kepada mereka agar mereka itu beramal dengan ketaatan kepadaMu.”

Walau bagaimanapun riwayat ini terdapat perawi yang tidak dikenali serta ia juga dinilai sebagai hadis yang dhaif. Oleh itu, dapat kita fahami bahawa amalan yang dilakukan bukanlah dibentangkan, tetapi roh-roh tersebut hanya akan saling bercerita dan bertanya khabar sahaja. Wallahua’lam.

Sumber: TZKRH.COM