Adakah Bersiwak Dan Menggosok Gigi Sama?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Allah telah jadikan mulut oleh setiap manusia sebagai penghubung kepada kesihatan rohani dan jasmani. Kesihatan jasmani ialah apabila mulut merupakan alat untuk memasukkan makanan dan membekalkan tenaga kepada diri sendiri.

Jika baik dan sihat makanan yang dimakan, maka ia boleh membantu memberi kesihatan kepada tubuh badan. Manakala, untuk kesihatan rohani pula ialah apabila ujaran dan kata-kata yang dituturkan oleh mulut kita boleh memberi kesihatan kepada hati dan iman sendiri.

Oleh itu, kita perlulah menjaga kesihatan rohani kerana Islam telah memberi peraturan dan langkah yang ringkas, hanya tinggal kita sahaja mengikutinya. Sebagai contoh, kita boleh berzikir bagi mengingati Allah, beristighfar ketika melakukan kesilapan dan membaca Al-Quran bagi mendapatkan ketenangan hati.

Bagi menjaga kesihatan jasmani, ia perlu dilakukan dengan cara yang betul. Antara langkahnya ialah memberus gigi setiap kali makanan yang masuk ke dalam mulut kerana ia akan meninggalkan sisa-sisa makanan pada permukaan gigi. Dengan cara ini akan membantu menyapu fluorida kepada bahagian gigi. Sebagaimana dalam sebuah hadis nabi yang menyebut:

Maksud: “Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang.” (Hadis Riwayat Bukhari, No. 887)

Namun, dalil yang disebut adalah berkenaan dengan siwak. Adakah ia sama dengan perbuatan menggosok gigi?

Apa Itu Siwak

Ulama menyebut bahawa siwak adalah perbuatan menggosok dengan menggunakan alatnya seperti kayu atau seumpamanya dengan disusuli niat kerana Allah SWT. (Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 1/270)

Hukum bersiwak adalah sunat setiap kali sebelum solat fardu sebagaimana berdasarkan hadis yang dibawakan di atas. Manfaatnya adalah untuk memastikan gigi dan mulut dalam keadaan bersih setiap kali menghadap Allah SWT. Sebagaimana dalam riwayat daripada ‘Aisyah RA, Baginda SAW bersabda yang bermaksud:  “Siwak itu menyucikan mulut dan mendatangkan keredaan Rabb.” (Hadis Riwayat Nasa’i, No. 4)

Namun, ia adalah sama dengan perbuatan menggosok gigi iaitu membersihkan mulut daripada kotoran. Perbezaannya hanya pada alat yang digunakan, iaitu siwak khusus menggunakan kayu siwak, manakala menggosok gigi tidaklah menggunakan kayu siwak.

Menurut Imam Hanafi dan Hanbali. Dalam Mazhab Syafi’e dan Maliki, siwak adalah sama dengan menggosok gigi kerana kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula menyebut: “Bersiwak dilakukan untuk tujuan memperindah, menyucikan dan membersihkan mulut.” (Syarah Umdah al-Fiqh, 1/203)

Melihat kepada pandangan dari mazhab Syafi’e, fungsi menggosok gigi dan bersiwak adalah sama. Oleh itu, sekiranya anda menggosok gigi dengan menggunakan alatan yang kesat seperti kayu dan berus gigi dan disertai dengan niat, maka anda telah dikira mengikut tuntutan yang sama dengan bersiwak.

Sumber: TZKRH.COM