Kita sering mendengar bahawa setiap anggota sujud perlulah mengenai tempat sujud ketika solat. Jika tidak sujud tidak akan sah. Dalam kata lain, tidak boleh ada halangan antara anggota sujud dan tempat sujud (sejadah). Kita biasa menyebutnya sebagai ‘berlapik”.
Menurut riwayat daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata yang bermaksud: “Nabi SAW memerintahkan untuk melaksanakan sujud dengan tujuh anggota, serta tidak menahan rambut dan tidak juga pakaian (tahan daripada sujud): dahi, dua tangan, dua lutut dan dua kaki.” (Riwayat al-Bukhari, no. 809)
Daripada hadis di atas, terdapat tujuh anggota sujud yang perlu diawasi ketika sujud iaitu dahi, dua telapak tangan, dua lutut dan dua hujung jari kaki.
Namun, bagaimana pula jika seseorang itu memakai cincin ketika solat? Adakah ianya dikira sebagai berlapik?
Menurut penerangan daripada Ustaz Azhar Idrus, hal ini tidak dikira sebagai ‘berlapik’ atau ada ‘halangan’. Ini kerana, masih ada bahagian tapak tangan yang lain yang kena pada tempat sujud (hanya sebahagian jari yang tersarung cincin sahaja yang tidak terkena sejadah).
Maka, itu sahaja sudah mencukupi. Tidak perlu memastikan kesemua kulit telapak tangan menyentuh sejadah. Oleh itu, tidak perlu berasa risau dan ragu-ragu adakah sujud anda sah atau tidak. Tidak ada masalah untuk memakai cincin ketika solat baik lelaki mahupun perempuan. Wallahua’lam.
Sumber: Natirah Azira (TZKRH.COM)