Adakah Mendengar Dan Membaca Al-Quran Akan Mendapat Ganjaran Yang Sama

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Seperti yang kita ketahui, banyak pahala yang akan diperoleh jika mendengar bacaan al-Quran, apatah lagi jika membacanya sendiri.

Apabila seseorang itu mendengar bacaan al-Quran, maka Allah akan melimpahkan rahmat buatnya.

Mafhum: “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya) supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-A’raf, 7:204)

Manakala, dalam sebuah dalil lain yang menyebut bahawa ganjaran membaca al-Quran itu adalah bukan bergantung kepada surah atau ayat yang dibaca, tetapi berdasarkan huruf yang disebut.

Sebagaimana yang disebutkan dari Abdullah ibn Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda:

Maksud: “Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitabullah (al-Quran), maka untuknya satu kebaikan, sedang satu kebaikan itu akan dibalas dengan sepuluh kali ganda seperti itu. Aku tidak mengatakan alif laam miim itu sebagai satu huruf. Tetapi aliif adalah satu huruf, laam satu huruf dan miim juga satu huruf.” (Hadis Riwayat Tirimizi, no.2910)

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa setiap orang yang mendengar bacaan al-Quran dan membaca al-Quran mempunyai ganjaran dan manfaatnya yang tersendiri.

Ulama membahaskan bahawa tiada hujah yang menyebut bahawa ganjaran mereka adalah sama kerana rahmat yang Allah berikan ke atas perbuatan tersebut adalah berbeza-beza.

Walau bagaimanapun, jika anda memasang bacaan suci al-Quran untuk didengari sambil melakukan kerja mahupun sebagai terapi sebelum tidur, maka itu adalah perbuatan yang baik dan mulia.

Oleh itu, marilah kita membaca al-Quran sama ada ia dibaca sendiri oleh mulut anda atau sekadar mendengar sahaja daripada rakaman atau orang sekeliling.

Sumber: TZKRH.COM & KONSULTASI SYARIAH