Kota Bharu: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan yang bergejala dinasihatkan supaya menjalani kuarantin kendiri bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Saranan itu dibuat susulan dua Adun iaitu Tendong, Mohd Rozi Mohamad dan Tanjong Mas, Rohani Ibrahim yang disahkan positif Covid-19 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) minggu lalu.
Speaker Dun, Datuk Abdullah Ya’kub berkata, beliau menasihatkan kesemua 41 Adun sekiranya ada gejala untuk kuarantin.
Katanya, setakat ini hanya dua Adun yang positif Covid-19 dan Adun Kemuning, Mohd Roseli Ismail yang menjalani kuarantin berikutan menjadi kontak rapat.
“Pada masa yang sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengambil inisiatif menjalani kuarantin di rumah.
“Oleh itu, saya sarankan kepada yang mempunyai gejala untuk kuarantin kendiri. Langkah ini diambil untuk mengelakkan penularan Covid-19,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih di Hotel Perdana di sini, hari ini.
Program berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Media sebelum ini melaporkan, persidangan Dun Kelantan pada 5 Disember lalu ditangguhkan lebih awal berikutan dua Adun positif Covid-19.
Sumber: My Metro