Agama itu menyembuhkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Semakin kita dewasa, banyak perkara yang perlu kita tempuhi. Di usia yang makin menua, masalah berat bukan perihal asing, bahkan air mata juga sentiasa mengalir dan tak pernah kering. Ujian adalah medan pertarungan kita setiap hari.  Namun betapa besar pun masaalah, Allah SWT lebih Maha Besar.

Kerana luka tetap luka, namun setiap luka ada ubatnya. Allah SWT yang mengetahui kelemahan hambaNya dan dengan sifat Ar-rahmanNya, Dia telah siap-siap menyediakan penawarnya agar kita segera sebuh atau “healing” dan “move on” dari setiap masalah dan ujian yang dilalui.

Dan penawar yang Allah berikan, cukup ampuh andai kita benar-benar menghargainya. Dengan “ubat” ini, jika dirundung masaalah kita tabah, jika ada kesakitan kita mampu lawan, jika kepenatan kita mampu bertahan, jika dizalimi maka tuhan sendiri akan menyediakan tempat pembalasan. Persoalannya apakah ‘penawar’ yang Allah berikan untuk kita hambanya?

  1. Solat 5 waktu sehari semalam

Nampak ‘cliché’ tapi solat benar-benar penyembuh yang ampuh. Sejak kecil kita diajar untuk bersolat. Bagaimana rukuk sujudnya, bacaan al fatihah dan surah lazimnya, kedudukan tahiyat dan sebagainya. Namun sejauh manakah solat itu memberi makna kepada kita sehingga mampu menyembuhkan kita?

Dalam Surah al-Mukminun ayat 1-2, Allah SWT berfirman  yang bermaksud: “Benar-benar sangat beruntung orang-orang beriman. Yakni mereka yang khusyuk dalam mengerjakan sembahyang.”

Solat yang benar-benar ampuh tidak lain dan tidak bukan adalah solat yang khusyuk. Di sinilah persoalannya, adakah solat kita benar-benar khusyuk dan tunduk? Adakah solat kita benar-benar pengaduan seoang hamba kepada tuhannya? Adakah benar-benar kita merasakan ‘halawah’ ketika melafazkan lafaz-lafaz solat? Adakah kita rasa lemah di hadapan Allah?

Persoalan ini hanya kita yang ada jawapannya sendiri. Jika tidak khusyuk, berusahalah untuk merasa khusyuk. Jika masih ada sombong, maka itu tandanya kita perlukan penyucian jiwa.

Ini kerana solat automatik menjadi ‘healing’ apabila kita khusyuk dan dapat menikmati lazatnya seakan-akan Allah sedang berbicara dengan kita. Kita terasa sembuh dengan ketenangan solat. Dengan solat yang ditunaikan, sedalam mana pun luka, ia pasti menghilang.

Jika kita menulusuri sirah, dalam satu peristiwa peperangan, sahabat Rasulullah iaitu Ali bin Abi Thalib, telah dipanah di bahagian kaki. Meskipun anak panah cuba dicabut, namun ia tidak boleh dicabut melainkan dengan menusukkan anak panah tersebut sehingga ke hujungnya lalu dipatahkan hujungnya. Maka bagi mengurangkan kesakitan, Ali memutuskan untuk menyuruh tabib mencabut anak panah ketika beliau solat asar kerana hanya sewaktu solat beliau akan terlalu khusyuk sehingga beliau tidak akan merasai kesakitan tersebut. Kisah ini menunjukkan betapa hebatnya para sahabat dalam menunaikan perintah Allah dan menunjukkan betapa manisnya solat, sehingga boleh menyembuhkan sakit fizikal apatah lagi sakit rohani.

2. Al-Quran yang mengandungi ahsanul qasas

Kisah-kisah dalam Al-quran adalah ahsanul qasas atau sebaik-baik cerita. Apa yang diceritakan dalam Al-Quran adalah kisah-kisah yang sangat penting, ahkam (hukum-hukum), teguran, dan banyak lagi.  

Dari surah-surah kita belajar, bahawa Nabi-nabi juga diuji, Nabi juga menangis, Nabi juga berhadapan dengan masaalah keluarga. Melalui cerita-cerita Al-Quran, kita yang diuji, akan mengetahui bahawa bagaimana Allah membantu Nabi, bagaimana Allah SWT memberi perlindungan kepada Nabi. Al-quran disifatkan sebagai mauizah (bimbingan), syifa (penyembuh), huda (petunjuk) dan rahmah (kasih sayang).

Dalam Quran, Allah juga menceritakan masalah-masalah umat terdahulu, yang mana juga terjadi pada masa kini. Seakan isu yang sama, namun pada zaman berbeza.

Menariknya Al-quran, dengan membaca tanpa faham memberi ketenangan, apatah lagi jika kita membaca dengan faham dan kritikal. Kita akan menemui ubat yang mujarab terhadap segala persoalan. Justeru, mari kita membuka semula lembaran “ubat” yang Allah telah turunkan pada 1400 tahun dahulu.

Kesimpulan

Dalam hendak mencari kesembuhan jiwa, kita tidak memerlukan alat-alat ribuan ringgit atau aktiviti luar biasa. Namun ia cukup dengan memahami makna solat dan faham Al-Quran. Benar,kesembuhan jiwa memerlukan proses, percayalah dengn izin Allah kita akan sembuh jua!