Agihan Ais Percuma Ringankan Beban Keluarga Besar Ramadan Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Bagi mengimarahkan rumah Allah terutama pada bulan Ramadan, pengurusan Masjid Al Ukhuwwah, Taman Kala Perdana, Melor di sini mengagihkan kiub ais percuma kepada jemaah.

Setiap hari selepas Asar bermula 1 Ramadan lalu, pihak pengurusan mengagihkan bungkusan ais kepada jemaah yang hadir serta kesemua 120 keluarga yang menetap di taman perumahan terbabit.

Ahli Jawatankuasa masjid merangkap Pengerusi Persatuan Komuniti Taman Kala Perdana, Ibrahim Hamzah, 40, berkata, agihan ais percuma itu sudah dilakukan sejak Ramadan tahun lalu.

“Dana yang digunakan adalah menerusi tabung persatuan dan sumbangan peribadi yang khusus untuk agihan ini kerana selain untuk imarahkan masjid, kami juga ingin mengambil keberkatan sempena Ramadan.

“Sejak pandemik Covid-19 melanda negara baru-baru ini, semakin tidak ramai yang mengunjungi masjid dan selain agihan kiub ais sebegini, kami menjalankan beberapa program lain juga,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang penduduk, Nik Khairul Azli Nik Mansor, 53, berkata, agihan itu walaupun dilihat kecil, mampu meringankan beban keluarga besar.

Katanya, dua plastik ais itu cukup baginya 10 beranak dan tidak perlu lagi keluar setiap petang untuk membelinya kerana semua lapan anaknya cukup gemarkan minuman berais untuk berbuka puasa.

“Sekurang-kurangnya pihak masjid dan persatuan taman perumahan ini mempunyai inisiatif untuk meringankan beban penduduk dan yang paling penting, masjid ini sudah kembali meriah,” katanya.

Sumber: METRO